Bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan ditahan reman - Saifuddin

Hasimi Muhamad
Julai 12, 2023 14:27 MYT
Saifuddin memaklumkan perintah reman dikeluarkan kepada wanita itu pada 8 Julai. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Polis telah menangkap bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan pada Jumaat lepas di ibu negara sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan perintah reman turut dikeluarkan kepada wanita itu pada 8 Julai.
"Perintah reman itu adalah ke atas siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, sekali gus PDRM tentunya mempunyai beberapa perkara yang perlu untuk disiasat.
"Pada masa yang sama melalui peguam Jasmine Loo Ai Swan memaklumkan bahawa beliau bersedia untuk memberi kerjasama untuk membantu PDRM dan kerajaan," katanya di sini dalam Sidang Media Khas di sini pada Rabu.
1MDB: KDN sahkan penahanan Jasmine Loo Ai Swan
Pada November 2021, pendakwa raya memfailkan notis usul melucut hak dua kereta iaitu Audi dan Volkswagen New Beetle, wang berjumlah RM22,600 serta sebuah kondominium di Mont Kiara di sini milik Jasmine.
Jasmine dikatakan seorang daripada sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB serta disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki selepas melarikan diri dan tidak diketahui keberadaannya.
#1MDB #Jho Low #Jasmine Loo Ai Swan #Saifuddin Nasution #ditahan reman
;