Bekas pegawai khas Ahli Parlimen tuntut tunggakan gaji
Adie Sufian Zulkefli
Disember 7, 2023 15:48 MYT
Disember 7, 2023 15:48 MYT
KANGAR: Bekas pegawai khas kepada Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan memfailkan tuntutan terhadap wakil rakyat itu yang didakwa tidak membayar tunggakan gajinya selama satu setengah bulan berjumlah RM4,569.23 sebelum pemecatannya pada Mei lalu.
Muhamad Rauf Abdul Aziz, 39, yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kangar selaku plaintif turut menyaman bekas majikannya itu bagi pemecatannya yang dianggap tidak sah kerana dilakukan tanpa notis.
Muhamad Rauf memfailkan tiga jenis tuntutan membabitkan gajinya pada November tahun lalu yang berjumlah RM830.77, baki gaji bagi April tahun ini yang berjumlah RM1,800 serta gaji ganti notis iaitu empat minggu tuntutan gaji ganti notis berjumlah RM1,938.46 di hadapan pegawai pendengar, Fadila Diana Zulkafli di Mahkamah Buruh Kangar.
Plaintif dan defendan bagaimanapun tidak diwakili mana-mana peguam dalam prosiding perbicaraan berkenaan yang berlangsung lebih satu jam.
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Perlis, Iskandar Jassa mengesahkan mengenai tuntutan yang dikemukakan oleh plaintif.
“Kita mengesahkan menerima aduan berhubung tuntutan berkenaan pada 6 September lalu dan ia sudah dibawa melalui proses sebutan kes di Mahkamah Buruh sebelum ini.
“Pada hari ini pula, proses perbicaraan berjalan dengan baik dan selepas ini mungkin terdapat hujahan bertulis daripada defendan sebelum keputusan dibuat,” katanya.
Katanya, dalam konteks Mahkamah Buruh, pegawai pengendali akan mendengar tuntutan berkenaan.
“Kedua-dua pihak terbabit bebas untuk hadir bersama peguam bagi membentangkan kes.
“Malah, pegawai Pendengar JTK juga akan membuat keputusan berhubung kes berkenaan dalam tempoh masa sekurang-kurangnya 14 hari.
“Tuntutan bagi kes ini dijalankan mengikut Seksyen 69 Akta Kerja 1955,” katanya.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu, Zakri berjaya menewaskan penyandang kerusi Parlimen itu, Noor Amin Ahmad daripada Pakatan Harapan (PH) serta Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Fathul Bari Mat Jahya dan dua lagi calon iaitu Nur Sulaiman Zolkapli (Pejuang) dan Rohimi Shapiee (Warisan) dengan majoriti sebanyak 9,192 undi.
Untuk berita terkini, ikuti kami di WhatsApp Astro AWANI