Bekas pegawai khas ADUN DAP P. Pinang cabul wanita dipenjara tiga tahun
Astro Awani
November 12, 2019 18:35 MYT
November 12, 2019 18:35 MYT
Padah mencabul seorang wanita dua tahun lepas, seorang bekas pegawai khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP di Pulau Pinang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini.
Majistret Jamaliah Abd Manap membuat keputusan itu selepas mendapati L. Prem Anand, 52, bersalah mencabul wanita berusia 21 tahun berkenaan.
Keputusan dibuat selepas pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Jamaliah dalam hujahannya menegaskan penilaian maksimum terhadap hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati tertuduh bersalah atas pertuduhan.
Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan penjara 12 bulan jika tertuduh gagal membayar denda itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shafiq Mohd Sazali memohon hukuman berat diberikan ke atas tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukannya adalah berat selain mengambil kira faktor keyakinan awam terhadap keadilan undang-undang.
Peguam E. Gnasegaran yang mewakili tertuduh memohon supaya anak guamnya tidak dikenakan hukuman penjara dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama yang baik sepanjang kes itu berlangsung.
Gnasegaran juga memohon untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi dan mahkamah membenarkan permohonan itu dengan jaminan RM30,000 dengan dua orang penjamin.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Pada 18 Julai 2017, Prem Anand didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan seorang wanita berumur 21 tahun di tempat letak kereta sebuah pusat hiburan di Lebuh Pantai kira-kira pukul 11.30 malam, 6 Julai dua tahun lepas.
Tertuduh bekas pegawai khas ADUN Paya Terubong didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua dari mana-mana hukuman itu, jika sabit kesalahan.
#ADUN pulau pinang
#cabul wanita
#hukuman penjara
#kes cabul
#mahkamah
#pegawai khas ADUN
#Pertuduhan