Bekas pegawai Imigresen didakwa 17 pertuduhan rasuah
Astro Awani
Disember 16, 2020 17:15 MYT
Disember 16, 2020 17:15 MYT
SHAH ALAM: Seorang bekas pegawai Imigresen didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini hari ini atas lapan pertuduhan termasuk empat pertuduhan pilihan berkaitan rasuah bernilai RM7,120 berhubung perakuan cap pasport keluar dan masuk warga asing antara 2018 dan 2019.
Tertuduh, Baliyan Mohd Bhanudin, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rozilah Salleh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut empat pertuduhan asal, Baliyan yang bertugas di Jabatan Imigresen, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Darul Takzim didakwa telah memperoleh wang daripada dua individu masing-masing berusia 29 dan 44 tahun dengan nilai keseluruhan RM7,120 tanpa sebarang balasan.
Pegawai Imigresen gred 19 itu didakwa mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan pilihan pula, bapa kepada tiga anak itu didakwa telah diberikan suapan dengan jumlah dan individu sama bagi mendapatkan perakuan cap keluar dan masuk pada pasport warga asing tanpa perlu keluar daripada Malaysia.
Tertuduh didapati telah melanggar peruntukan Seksyen 2 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada SPRM.
Baliyan didakwa mengikut Seksyen 25 (2) Akta SPRM yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan pilihan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Singa C 20/C, Seksyen 20 di sini secara berperingkat antara September 2018 hingga Jun 2019.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.
Baliyan yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan berikutan perlu menanggung isteri dan tiga anak selain ibu yang mempunyai penyakit kencing manis.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dan membenarkan syarat tambahan pendakwaan dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 18 Januari hadapan.
#SPRM
#Mahkamah Sesyen
#cap pasport keluar dan masuk
#Baliyan Mohd Bhanudin
#dituduh rasuah
#Mahkamah Sesyen Shah Alam
#pegawai imigresen didakwa