Bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah terima suapan
Astro Awani
Februari 28, 2018 13:20 MYT
Februari 28, 2018 13:20 MYT
Bekas pengurus pembangunan perniagaan sebuah bank di Batu Pahat mengaku tidak bersalah terhadap 10 pertuduhan membabitkan rasuah dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).
Tertuduh, Lai Chin Siang, 33 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Kamarudin Kamsun di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor.
Mengikut kertas pertuduhan, Chin Siang dituduh secara rasuah menerima RM290,400 pada 10 April 2015 menerusi pemindahan bank daripada akaun Syarikat Pt Hup Sdn Bhd.
Ia sebagai upah untuk membantu dalam meluluskan pinjaman bank atas jualan lima lot kilang di Parit Sulong Batu Pahat yang bernilai RM15.1 juta.
Dengan itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a) (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Chin Siang turut berhadapan dengan sembilan pertuduhan lain membabitkan AMLATFA 2001 dengan memindahkan sejumlah wang rasuah itu ke dalam akaun miliknya serta enam akaun individu berbeza pada 15 April hingga 18 Mei 2015.
Hakim menetapkan jaminan berjumlah RM40,000 bagi seorang penjamin, selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan diminta melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM negeri.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Farez Rahman dan Mahadi Jumaat.
Manakala tertuduh diwakili peguam, T. Vijaya Sandran dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Mac depan.
#AMLATFA
#hakim
#Kamarudin Kamsun
#Lai Chin Siang
#Mahkamah Sesyen Johor Bahru
#pegawai bank
#Rasuah