Bekas OCPD manfaatkan layang-layang sebagai agenda perangi jenayah
Bernama
September 16, 2024 07:15 MYT
September 16, 2024 07:15 MYT
MELAKA: Permainan layang-layang dijadikan platform oleh pelayang, yang juga bekas Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP (B) Mohd Fadzil Ali untuk mempromosikan agenda memerangi jenayah dalam kalangan masyarakat.
Mohd Fadzil, 62, berkata inisiatif berkenaan dilakukannya bukan semata-mata kerana hobinya selama 21 tahun lalu, tetapi juga bertujuan untuk mendekatkan polis dengan masyarakat.
Beliau, yang juga ahli Persatuan Pelayang Johor, berkata layang-layang yang dibawa ke setiap karnival mengandungi elemen kepolisan seperti anggota Unit Rondaan Bermotosikal dan kereta peronda polis. Malah, logo Rakan Cop turut ditempah khas dari luar negara seperti New Zealand, China, dan Indonesia.
"Sejak 21 tahun lepas, saya memiliki lebih 30 layang-layang mengandungi elemen kepolisan dan kesemuanya bersaiz gergasi, yang dinaikkan untuk mempromosikan Polis Diraja Malaysia selaras dengan moto 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'.
"Layang-layang tersebut juga saya bawa ke festival layang-layang antarabangsa yang saya sertai di luar negara. Sehingga kini, saya telah menjelajahi sembilan negara dengan misi ini, termasuk Perancis, India, Thailand dan Qatar," katanya kepada Bernama di ketika ditemui di Klebang di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Usahawan @ Festival Layang-Layang Antarabangsa Melaka 2024 yang berlangsung selama tiga hari sejak Sabtu. Festival ini menghimpunkan lebih 100 pelayang dari pelayang tempatan dan antarabangsa, termasuk dari Vietnam, Thailand, Singapura.
Mohd Fadzil berkata selain itu, usaha berkenaan dilakukan untuk menghapuskan stigma atau persepsi sesetengah masyarakat luar negara yang menganggap polis di negara ini sebagai kasar, zalim dan ganas.
Bagi Mohd Fadzil, masa terluang selepas bersara memberi peluang untuk lebih aktif bermain layang-layang, baik di dalam dan luar negara.
Dalam pada itu, walaupun terdapat sesetengah orang memperlekehkan permainan layang-layang sebagai hobi tidak berfaedah, tetapi bagi beliau ia adalah aktiviti yang boleh menyatupadukan masyarakat daripada pelbagai kaum dan peringkat umur.
"Permainan layang-layang adalah medium terbaik untuk perkongsian budaya, seni, menambah kenalan serta bertukar idea berkaitan kepelbagaian layang-layang yang dibawa setiap pelayang dari segi tema, bentuk dan saiz termasuk layang-layang tradisonal seperti wau.
"Permainan ini juga memupuk sifat sabar yang tinggi dalam kalangan pelayang, kerana ia hanya dapat dimainkan apabila terdapat angin, dan teknik yang betul diperlukan untuk mengawal layang-layang tersebut," katanya.
-- BERNAMA