Bekas murid tahun dua gagal saman guru didakwa pukul guna penyapu hingga berdarah

Bernama
Mac 20, 2024 15:16 MYT
Ibu bapa kepada seorang bekas murid tahun dua di sebuah sekolah kebangsaan di Selayang hadir di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang bekas murid tahun dua di sebuah sekolah kebangsaan di Selayang, gagal dalam samannya terhadap tiga pihak termasuk seorang bekas guru sekolah itu atas dakwaan memukul menggunakan penyapu sehingga berdarah dan menerima lima jahitan di kepala.
Ini berikutan Hakim Mahkamah Sesyen Selayang Nor Rajiah Mat Zin, menolak saman dikemukakan pelajar berkenaan kini berumur 13 tahun yang diwakili bapanya selaku plaintif, terhadap guru wanita berumur 60 tahun, guru besar sekolah sama dan kerajaan Malaysia, sebagai defendan pertama hingga ketiga.
"Mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan tuntutannya terhadap defendan pertama, kedua dan ketiga. Oleh itu, mahkamah menolak tuntutan plaintif dengan kos RM5,000 dibayar kepada defendan pertama dan RM5,000 kepada defendan kedua serta ketiga," kata hakim itu.
Nor Rajiah berkata berdasarkan keterangan saksi, plaintif berada di tempat kejadian, namun ia tidak disokong oleh saksi lain yang berada di situ.
"Ia hanya disokong oleh keterangan saksi plaintif iaitu pegawai penyiasat dan bapa plaintif yang tidak berada di tempat kejadian. OIeh itu, plaintif gagal membuktikan kesnya pada imbangan kebarangkalian," katanya.
Prosiding itu dihadiri peguam Azmer Md Saad mewakili pelajar itu dan peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim dan Mohd Zali Shaari mewakili guru berkenaan, serta Peguam Kanan Persekutuan Nur Aifaa Che Abdullah bertindak bagi pihak guru besar dan kerajaan.
Sementara itu, Azmer ketika ditemui pemberita berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini atau esok.
Perbicaraan kes itu bermula tahun lepas dengan tiga saksi plaintif dan lapan saksi defendan memberi keterangan.
Dalam saman difailkan pada 17 Okt 2022, plaintif ketika itu berumur lapan tahun mendakwa, semasa sesi pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu pada 3 petang, 18 Okt 2019, dia dan seorang lagi murid nampak guru berkenaan sedang mengejar seorang lagi rakan sekelasnya sambil memegang sebatang penyapu.
Plaintif mendakwa semasa dia dalam perjalanan kembali ke tempat duduk, guru berkenaan secara tiba-tiba memukul kepalanya menggunakan penyapu itu dan dia mengalami kecederaan serta pendarahan yang banyak.
Hasil pemeriksaan di sebuah klinik kesihatan di Gombak, mendapati dia mengalami kecederaan di bahagian atas kepala dan menerima lima jahitan, serta kepalanya terpaksa dibalut bagi menutup luka.
Susulan itu, bapa plaintif membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan pada 6.45 petang, hari yang sama dan meminta guru itu memberi penjelasan dan guru berkenaan menyatakan bahawa mangsa dipukul kerana tidak berada di tempat duduk, ketika sesi pembelajaran dalam kelas.
Dakwa plaintif, kegagalan kesemua defendan untuk memastikan plaintif dibimbing dengan baik sepanjang berada di sekolah dan berada di dalam keadaan selamat sepanjang masa sesi persekolahan berlangsung, menyebabkan guru berkenaan mendatangkan kecederaan yang dialami plaintif.
Berdasarkan pernyataan pembelaan difailkan defendan pertama (guru) pada 20 Dis 2022, wanita itu mendakwa beliau tidak pernah memukul kepala plaintif atau murid-murid lain menggunakan penyapu atau mana-mana bahagian penyapu.
Guru berkenaan berkata kecederaan dialami plaintif itu akibat kenakalannya sendiri, yang mana plaintif terhantuk dan terkena bucu kayu (tempat letak kapur) papan hitam lama yang diletakkan papan putih di atasnya, ketika plaintif cuba meloloskan diri dari tempatnya tersekat di antara meja guru dan papan putih.
-- BERNAMA
#bekas murid #gagal saman guru #pukul dengan penyapu #sekolah di Selayang
;