Bekas mufti Perlis - Boleh berkongsi tempat beribadat

Astro Awani
Ogos 15, 2013 15:43 MYT
Penganut ajaran agama dibenarkan berkongsi tempat yang sama untuk beribadat selagi lokasi tersebut tidak diwartakan untuk ajaran agama tertentu.
Bekas mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, apabila tempat tersebut diisytiharkan sebagai masjid atau musalla, penganut agama lain tidak boleh beribadat tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu.
“Kecuali pihak kerajaan mewartakan undang-undang yang menyatakan sesebuah lokasi yang digunakan, sebagai contoh, tempat untuk umat Islam beribadat, tidak boleh ditukar menjadi tempat beribadat agama lain walaupun oleh pemilik tempat tersebut sendiri,” kata Dr Asri.
Menurut Dr Asri, tempat beribadat milik persendirian tidak boleh dianggap sebagai tempat awam dan tempat itu boleh ditukar pada bila-bila masa mengikut pemilik itu sendiri.
“Sebagai contoh, jika kita pergi ke rumah penganut agama bukan Islam dan pemilik rumah tersebut membenarkan kita bersolat, itu amat bagus. Tetapi jika tuan rumah tersebut tidak lagi membenarkan kita bersolat selepas itu, itu adalah hak mereka,” tambah beliau.
Mengulas kejadian sebuah surau di sebuah resort di Kota Tinggi yang digunakan penganut agama Buddha untuk bermeditasi, Dr Asri berkata rancangan untuk merobohkan surau itu ‘tidak masuk akal sama sekali’.
“Mengikut sejarah, banyak gereja ditukar menjadi masjid dan masih digunakan hingga ke hari ini serta Nabi Muhammad sendiri pernah membenarkan penganut agama Kristian dari Najran untuk beribadat di dalam masjid,” kata Dr Asri.
Beliau menambah sesuatu tempat itu tidak boleh dianggap sebagai surau untuk orang ramai jika ia dimiliki secara persendirian.
“Apabila ianya milik persendirian, pemilik mempunyai hak untuk membenarkan sesiapa sahaja untuk membuat apa-apa aktiviti,” tambah Dr Asri.
Walaubagaimanapun, untuk menghormati semua agama dan budaya beliau menambah orang ramai perlu menjadi lebih sensitif dalam menyediakan tempat berasingan bagi penganut agama yang berbeza.
Susulan kejadian ini, pemilik resort berusia 45 tahun yang merupakan rakyat Singapura serta pemegang status pemastautin tetap Malaysia telah ditahan selepas klip video bertajuk ‘Surau dijadikan tokong’ muncul pada minggu lepas menyaksikan sekumpulan pelancong beragama Buddha sedang bermeditasi di situ.
Sementara itu, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) akan memantau kawasan awam serta swasta bagi memastikan ruang beribadat atau surau yang disediakan menunjukkan arah kiblat yang betul.
Penasihatnya, Datuk Noh Gadut berkata, ini adalah langkah yang penting bagi memastikan rakyat Islam diberikan tempat khusus untuk mereka menunaikan solat.
Selain hotel dan resort, pemantauan tersebut juga meliputi institusi pengajian, kilang-kilang, kem Khidmat Negara, kompleks membeli belah serta premis rumah penginapan.
JAIJ menggesa pemilik dan pengendali premis untuk berunding dengan pejabat kadi daerah jabatan tersebut bagi mendapatkan garis panduan untuk menentukan arah 'kiblat' yang betul.
“Kami tidak akan mengenakan sebarang bayaran untuk servis ini dan kami akan mengeluarkan sijil mengesahkan bahawa premis tersebut mengikut arah kiblat yang betul.
“Kami turut merancang untuk meluaskan servis menentukan arah kiblat yang betul ke kawasan milik persendirian. Kami mengalu-alukan pemilik rumah untuk menghubungi kami,” kata Noh Gadut.
#agama #Buddha #Dr Mohd Asri Zainul Abidin #ibadat #Islam #masjid #mufti #surau #tokong
;