Bekas MP Kapar mengaku bersalah hantar mesej kurang sopan, bayar denda

Astro Awani
Februari 13, 2024 13:39 MYT
Manikavasagam didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100. - Foto Astro AWANI/Mohd Shahir Omar
SHAH ALAM: Bekas Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam mengaku bersalah atas tuduhan berkelakuan kurang sopan terhadap seorang individu, bulan lalu.
Majistret Sasha Diana Sabtu, menjatuhkan hukuman denda RM100 atau penjara tiga hari sekiranya tertuduh gagal membayar denda ditetapkan.
Dalam rayuannya, Manikavasagam yang keluar PKR pada April 2018 selepas keahliannya digantung pada Ogos 2017, memaklumkan beliau kini pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) penglihatan dan bersedia membayar denda ditetapkan.
Manikavasagam didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100.
Manikavasagam yang juga bekas Ketua PKR Cabang Kuala Selangor dituduh berkelakuan kurang sopan terhadap seorang individu dengan menghantar mesej kurang sopan dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.
Ahli Parlimen Kapar selama sepenggal dari 2008 hingga 2013 itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah di Subang Jaya, dekat sini, pada jam 3.27 petang, 4 Januari lalu.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran, manakala Manikavasagam tidak diwakili peguam, kemudian membayar denda berkenaan.
Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 menyebut sesiapa yang menggunakan perkataan kurang sopan, mengugut, aib atau menghina atau berkelakuan dengan cara mengugut atau menghina atau menampal atau melekatkan atau mempamerkan kertas bertulis atau lukisan kurang sopan mengugut aib atau menghina dengan tujuan membangkitkan kemarahan boleh didenda tidak melebihi RM100.
#manikavasagam #PKR #denda #bersalah #kurang sopan #mesej #Mahkamah Majistret #bekas ahli PKR
;