Bekas MP Gelang Patah meninggal dunia
Bernama
Ogos 10, 2013 17:07 MYT
Ogos 10, 2013 17:07 MYT
Bekas Anggota Parlimen Gelang Patah, Tan Ah Eng, 58, yang mengidap barah otak meninggal dunia di Kota Tinggi hari ini.
Ah Heng yang dikejarkan oleh suaminya Tan Hee Miang dan anak perempuan mereka ke Hospital Kota Tinggi selepas mengadu sesak nafas meninggal dunia setibanya di hospital tersebut pada 11 pagi, menurut pembantu peribadinya Goh Teck Guan.
Selain suami dan anak perempuannya Tan Pei Tze, 33, Ah Heng turut meninggalkan seorang anak lelaki Tan Nian You, 28, seorang jurutera di England.
Menurut Goh, mendiang dikesan menghidap barah otak pada Julai tahun lalu dan kesihatannya bertambah teruk sejak awal tahun ini.
Walaupun sakit, beliau tetap membantu penduduk di kawasan parlimennya walaupun terpaksa menulis surat kepada pelbagai agensi, jabatan kerajaan dan pihak tertentu dari katilnya.
Ah Heng juga telah membantu Barisan Nasional pada kempen Pilihan Raya Umum ke-13 Mei lalu.
Dengan menggunakan rakaman video ringkas, beliau menyeru pengundi di Gelang Patah supaya memilih bekas Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman yang menggantikannya sebagai calon, bertanding menghadapi veteran DAP Lim Kit Siang.
Abdul Ghani bagaimanapun tewas kepada Lim yang mendapat 54,284 undi dengan majoriti sebanyak 14,762 undi.
Selain berkhidmat sebagai anggota parlimen Gelang Patah selama dua penggal, mendiang juga merupakan Timbalan Ketua Wanita MCA dan kemudian Ketua Wanita MCA Johor.