Bekas Miss Universe Malaysia dikecam gara-gara komen protes #BlackLivesMatter

Azyyati Ahmad
Jun 2, 2020 10:59 MYT
Samantha Katie James dikecam kerana tindakannya memuat naik komen sensitif mengenai gerakan protes #BlackLivesMatter. -Gambar fail
BEKAS ratu cantik Miss Universe Malaysia, Samantha Katie James dikecam di media sosial susulan tindakannya memuat naik beberapa komen sensitif mengenai protes #BlackLivesMatter di Amerika Syarikat (AS).
Kenyataan yang dikeluarkan di akaun Instagramnya adalah merujuk kepada golongan African American yang melakukan protes besar-besaran di seluruh negara susulan kematian lelaki kulit hitam George Floyd beberapa hari lalu.
Samantha didakwa menaikkan posting bahawa gerakan #BlackLiveMatter merupakan bukti jelas golongan White Americans telah menang, dan menganggap kalangan pemprotes sebagai ‘bodoh’.
“Saya tak tinggal di Amerika Syarikat dan ia tiada kena mengena dengan saya. Tetapi bagi saya, ia kelihatan seperti orang putih sudah menang.
“Jika anda marah, anda bertindak balas dalam kemarahan dan penuh penderitaan, ia bermaksud anda telah dikuasai perasaan itu.
"Mereka sudah menguasai anda,” katanya lagi di posting Instagram yang diikuti lebih 160,000 pengikut.
Samantha kemudian menulis: “Untuk golongan ‘black people’: tenang, anggap itu sebagai cabaran, dan ia akan menguatkan anda.
“Anda memilih untuk lahir sebagai ‘coloured person’ atas sebab tertentu. Untuk belajar sesuatu.
“Terimalah seadanya. Sehingga sekarang kelaparan dan kemiskinan masih wujud. Ia adalah seadanya. Ia tidak dapat dielakkan.
"Lebih baik anda bertenang, lindungi hati anda, jangan biarkan ianya rapuh,” katanya lagi.
Kenyataan Samantha itu turut menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia yang bersolidariti dengan nasib yang menimpa golongan kulit hitam serta perjuangan mereka menentang perkauman.
Susulan keadaan itu, Persatuan Ratu Universe Malaysia (MUMO) mengeluarkan kenyataan yang mengatakan mereka sama sekali tidak bersetuju dengan Samantha dan mengambil maklum kenyataan bekas Miss Universe Malaysia itu sebagai tidak wajar, menghina, dan menjengkelkan.
“Kenyataan yang disampaikan Samantha di akaun Instagramnya adalah pandangan peribadi, dan tidak mewakili persatuan kami.
"Samantha tidak mempunyai kontrak dengan MUMO dan tidak lagi mewakili persatuan ini sejak Jun 2018,” kata MUMO lagi.
#Amerika Syarikat #Bekas Ratu Universe Malaysia #blacklivesmatter #George Floyd #komen sensitif #Samantha Katie James
;