Bekas menteri Sarawak, Ambrose Blikau meninggal dunia
Rudi Affendi Khalik
September 9, 2023 18:49 MYT
September 9, 2023 18:49 MYT
SIBU: Bekas menteri Sarawak, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Datuk Seri Ambrose Blikau Enturan meninggal dunia pada Sabtu.
Beliau menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 8.05 pagi di Pusat Rawatan Pakar Normah akibat jangkitan paru-paru.
Mayat mendiang kini ditempatkan di kediamannya di Lot 608, Jalan Kedandi, Lorong 8, Tabuan Dusun.
Majlis pengebumian akan disempurnakan pada Isnin depan.
Ambrose merupakan wakil rakyat Katibas untuk sembilan penggal, sebelum mengumumkan keputusan tidak mempertahankan kerusi tersebut pada Disember 2021, sebelum Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak berlangsung.
Ambrose, 70 mengumumkan pendiriannya kepada ahli parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di kawasannya, sebelum dipanjangkan dalam bentuk pengumuman dan ucapan terima kasih oleh PBB Cawangan N52 Katibas.
Beliau merupakan tokoh veteran dalam politik Sarawak dan dipilih sebagai wakil rakyat seawal usia 26 tahun.
Susulan pengundurannya, Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah dipilih sebagai calon Gabungan Parti Sarawak dan memenangi kerusi tersebut.
Mengimbas kembali perjalanan politik Ambrose, beliau bertanding dan menang di DUN Katibas pada tahun 1979, selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya tersebut pada 1977.
Pada 1987, ketika krisis Ming Court memuncak, Ambrose tewas kepada cabaran wakil Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Felix Bantin Jibom dengan perbezaan majoriti 544 undi.
Namun Ambrose kembali merampas kerusi tersebut pada tahun 1991, dengan mencipta majoriti 1,666 undi untuk menewaskan Felix dan calon parti Negara, James Minggu Seran.
Untuk dua penggal selepas itu, suami kepada Datin Seri Marie Therese Mathias ini menang tanpa bertanding.
Pada 2016, pada usia 63 tahun, Ambrose menewaskan calon DAP Paren Nyawi, dengan majoriti bertambah 3,063 undi, sekali gus membuktikan Katibas sebagai kubu kuat PBB.
Lulusan sarjana pentabiran perniagaan dari Harriot Wat University, Scotland ini pernah menjadi menteri muda Sarawak dari tahun 2001 hingga 2009. Manakala dalam hierarki parti, beliau pernah menjawat Setiausaha Agung PBB.
Jasa beliau kepada Katibas, yang terletak tidak jauh dari pedalaman Song, Kapit cukup besar.
Antaranya, bersama-sama ADUN Baleh, mendiang Tan Sri James Jemut Masing dan Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi merancang pembinaan laluan yang menghubungkan kawasan itu dengan bandar Sibu – sesuatu yang mustahil dan mahal sehingga tahun 2000.
Dengan sumbangan besarnya, terutama dalam mengekalkan kestabilan dan keharmonian, tidak hairanlah keputusan Ambrose untuk bersara ketika itu disambut dengan penuh emosi oleh penduduk di kawasan tersebut.