Bekas Menteri Kewangan disiasat berhubung harta ratusan bilion ringgit di luar negara - Laporan
Astro Awani
Februari 14, 2023 15:18 MYT
Februari 14, 2023 15:18 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menjalankan siasatan ke atas seorang bekas Menteri Kewangan berhubung penyimpanan harta di luar negara berjumlah ratusan bilion ringgit sehubungan pendedahan Pandora Papers.
Memetik laporan The Star, SPRM dipercayai sudah memanggil dan mengambil keterangan pemimpin berusia 80-an itu di Putrajaya.
"Kita telah memanggil bekas pemimpin itu. Beliau hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya. Siasatan ke atas beliau masih di peringkat awal berdasarkan pendedahan Pandora Papers yang mendakwa beliau menyimpan harta ratusan bilion ringgit di luar negara.
"Setakat ini, tiada aset yang dibekukan susulan siasatan ini," katanya, pada Selasa.
Astro AWANI sedang mendapatkan pengesahan SPRM berhubung siasatan berkenaan.
Data Pandora Papers dilaporkan bocor dan mendedahkan puluhan ketua negara, kerajaan dan pemerintah dari serata dunia termasuk Malaysia yang didapati menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir bagi menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar, sepanjang 25 tahun lalu.
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
#penyimpanan harta di luar negara
#bekas Menteri Kewangan
#Pandora Papers