Bekas Menteri Abdul Manan Othman meninggal dunia

Bernama
Januari 18, 2017 23:45 MYT
Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Bukit Damansara sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 10 pagi Khamis. - fotoBERNAMA (1983)
Bekas Menteri Perusahaan Utama dan Menteri Pertanian, Datuk Abdul Manan Othman, 81, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru ketika menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Ampang, di sini, pada pukul 7.12 malam ini.
Anak sulung Allahyarham, Nadzrin, 53, berkata bapanya dimasukkan ke hospital itu selepas tidak sedarkan diri sejak Isnin lepas.
Bercakap kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di Desa Sri Hartamas di sini, Nadzrin berkata jenazah bapanya akan disembahyangkan di Masjid Bukit Damansara sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 10 pagi esok.
Allahyarham yang merupakan Menteri Pertanian pada 1980 hingga 1984, sebelum itu pernah bertugas sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Awam, Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri.
Allahyarham meninggalkan isteri Nora Abu Hassan, 78, tiga anak dan lapan cucu. -- Bernama
#Abdul Manan Othman #Al-Fatihah #Bekas Menteri Perusahaan Utama dan Menteri Pertanian #meninggal dunia
;