Bekas mekanik jadi penghantar daun ketum ditahan polis

Adie Sufian Zulkefli
Jun 11, 2020 11:03 MYT
Pemeriksaan lanjut di kawasan belakang stor turut menemui sejumlah pokok ketum. Astro AWANI
Lelaki ini memberi helah dia hilang pekerjaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan terpaksa bekerja menghantar daun ketum.
Bagaimanapun, kegiatannya terbongkar apabila dia ditahan anggota polis yang sedang membuat rondaan di Jalan Sidam Kanan, Padang Serai, di sini, lewat petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, DSP Safuan Md Noor berkata, pihaknya curiga dengan kelibat suspek yang membawa dua guni berwarna putih semasa diperiksa.
Sebaik pemeriksaan dilakukan, anggotanya menemui daun hijau dipercayai daun ketum seberat 15 kilogram.
Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk siasatan lanjut.
Hasil soal siasat ke atas suspek berusia 29 tahun itu membawa kepada serbuan pagi ini di sebuah stor di Kampung Sidam, dipercayai tempat memproses air ketum.
Dalam serbuan itu, polis berjaya menahan seorang lelaki yang sedang memasak daun ketum.
Pemeriksaan lanjut di kawasan belakang stor turut menemui sejumlah pokok ketum.
Suspek yang berusia 45 tahun itu kemudiannya dibawa ke IPD untuk tindakan lanjut.
Polis turut merampas daun ketum, air ketum yang telah siap dibungkus serta peralatan memasak dan memproses daun ketum.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
#hilang pekerjaan #IPD Kulim #ketum #mekanik #PKP #PKPP
;