Bekas KP Kastam meninggal dunia akibat kanser hati
Bernama
September 17, 2016 13:24 MYT
September 17, 2016 13:24 MYT
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Tan Sri Abdul Halil Abd Mutalib, 70, meninggal dunia di Hospital Gleneagles, di sini kira-kira jam 10 malam tadi akibat kanser hati.
Menurut laman Facebook rasmi JKDM, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Kosas, Ampang di sini sebelum Zohor hari ini selepas disembahyangkan di Masjid Jamil Huda, Kampung Melayu Ampang di sini.
Sementara itu, Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Khazali Ahmad menyifatkan pemergian Allahyarham Abdul Halil sebagai kehilangan besar buat negara.
"Allahyarham seorang yang peramah dan berdedikasi serta mempunyai banyak pengalaman kerana telah menjawat pelbagai jawatan.
"Kali terakhir saya bertemu dengannya adalah dua bulan lepas ketika menziarahinya di rumah kerana sakit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Khazali mewakili seluruh warga JKDM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Abdul Halil, yang meninggalkan isteri Puan Sri Nabiha Mahmur dan tiga orang anak.