Bekas komando ditemukan meninggal dunia dalam kebun kelapa sawit di Kluang

Bernama
Disember 17, 2023 19:52 MYT
Mayat warga emas yang dilaporkan hilang pada Khamis lepas Ab Manan Keri, 73, dibawa keluar dari kebun kelapa sawit di Kampung Palembang hari ini. - Foto BERNAMA
KLUANG: Bekas komando Grup Gerak Khas (GGK) yang dilaporkan hilang sejak Khamis lepas, Ab Manan Keri, 73, ditemukan meninggal dunia di dalam kebun kelapa sawit di Kampung Palembang, di sini, kira-kira pukul 5 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata mayat warga emas itu dijumpai oleh seorang penggembala lembu yang sedang menguruskan ternakannya di kawasan itu.
Beliau berkata penemuan mayat terbabit masih dalam radius pencarian iaitu kira-kira 500 meter dari Sungai Melantai, yang juga merupakan rangkaian kepada Sungai Mengkibol.
"Pengesahan juga sudah dilakukan oleh anak mangsa, Mohamad Shahfullah, 29, yang turut hadir ke lokasi penemuan mayat ayahnya sebaik dimaklumkan.
Mayat kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat," katanya kepada pemberita di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Palembang, di sini, hari ini.
Bahrin berkata dengan penemuan terbaik, PKTK ditutup secara rasmi pada pukul 6 petang tadi.
Sementara itu, Norsam Kasbi, 56, yang menemui mayat bekas komando itu berkata dia sedang menghalau lembu miliknya untuk ke kandang lalu terhidu bau busuk.
Beliau berkata setelah didekati, dia ternampak satu mayat terdampar di tepi parit dalam kebun itu, menyerupai ciri-ciri orang hilang yang digambarkan sebelum ini.
"Saya kemudiannya terus ke PKTK untuk memaklumkan kepada pasukan penyelamat," katanya.
Terdahulu, mangsa telah dilaporkan hilang oleh keluarganya setelah menghadiri majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat Batu Pahat dan Kluang, yang diadakan di Dataran Tasik, di sini Khamis lepas.
-- BERNAMA
#bekas komando #hilang #ditemukan meninggal dunia #kebun kelapa sawit #Kluang #Ab Manan Keri
;