Bekas Ketua Perisik Luar meninggal dunia akibat kanser

Sinar Harian
Mei 5, 2023 16:58 MYT
Pemergian Hasanaj (gambar) disahkan oleh peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang pernah mewakilinya dalam satu kes mahkamah sebelum ini. - Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Unit Perisikan Luar di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Hasanah Abdul Hamid disahkan meninggal dunia pada jam 1.22 petang Jumaat setelah bertarung dengan penyakit kanser sebelum ini.
Perkara itu disahkan oleh peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang pernah mewakilinya dalam satu kes mahkamah sebelum ini.
Menurut Mohd Khairul, jenazah Hasanah yang meninggal dunia pada usia 66 tahun bakal dibawa ke Surau Al Ikhwan, Desa Pinggiran Putra untuk dimandikan pada jam 3 petang.
"Upacara pengebumian dijangka diadakan di Pusara Taman Raudhatul Jannah pada tempoh waktu selepas solat Asar.
"Maklumat lanjut mengenai keadaan penyakit dihadapi Allahyarham Datuk, saya tidak tahu," katanya kepada Sinar Premium dalam satu mesej aplikasi WhatsApp ringkas.
Pada 25 Oktober 2018, Allahyarham Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, JPM, di Putrajaya, antara 30 April hingga 9 Mei 2018.
Bagaimana pun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan unit perisikan luar di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu daripada pertuduhan berkenaan.
Pesuruhjaya Kehakiman (JC), Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Hasanah supaya dibebaskan daripada pertuduhan tersebut setelah tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari.
Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan. -- Sinar Harian
#Ketua Perisik Luar #Hasanah Abdul Hamid #meninggal dunia #kanser
;