Bekas Ketua Pengarang The Edge didakwa fitnah individu bergelar Datuk, syarikat
Bernama
September 13, 2022 22:40 MYT
September 13, 2022 22:40 MYT
PETALING JAYA: Bekas Ketua Pengarang The Edge Communications Sdn Bhd dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memfitnah seorang bergelar Datuk dan empat buah syarikat menerusi penyiaran dua artikel dalam The Edge Malaysia.
Ahmad Azam Mohd Aris, 61, kini editor sambilan di portal berita The Edge mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah dan Nurshahira Abdul Salim.
Di hadapan Zhafran, tertuduh didakwa memfitnah Datuk Kua Khai Shyuan, 38, dan Syarikat DGB Asia Berhad dengan menyiarkan satu artikel dalam The Edge Malaysia Bilangan 1337 bertarikh 21 Sept hingga 27 Sept 2020, yang mana tuduhan tersebut akan merosakkan reputasi individu itu dan syarikat berkenaan.
Sementara di hadapan Nurshahira dia juga dituduh memfitnah Kua dan syarikat DGB Asia, Trive Property Group Berhad, Metronic Global Berhad dan MNC Wireless Berhad dengan menyiarkan satu artikel dalam The Edge Malaysia Bilangan 1365 bertarikh 12 April hingga 18 April 2021 yang mana tuduhan tersebut akan merosakkan reputasi individu itu dan keempat-empat syarikat berkenaan.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di The Edge Communications Sdn Bhd, Level 3, Menara KLK, Mutiara Damansara, di sini pada 21 Sept 2020 dan 12 April 2021.
Kedua-dua pertuduhan adalah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal yang mengendalikan pendakwaan di hadapan Zhafran dan Farhanah Fuad Mohamad Faiz yang mewakili pendakwaan di hadapan Nurshahira masing-masing menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Semasa prosiding di hadapan Nurshahira, Farhanah memaklumkan seorang lagi tertuduh, Shanmugam Murugasu tidak hadir ke mahkamah hari ini dan memohon dia dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) untuk dituduh semula.
Peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Ahmad Azam memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis serta mempunyai tanggungan tiga anak yang masih belajar.
"Anak guam saya telah memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan dan dia sendiri hadir ke mahkamah hari ini walaupun dimaklumkan lewat petang semalam," katanya yang turut memaklumkan jumlah jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan bukannya sebagai hukuman.
Peguam itu berkata Shanmugam, yang juga Editor The Edge, kini berada di luar negara dan dia akan pulang pada minggu hadapan untuk menghadapi pertuduhan selepas ini.
Nurshahira kemudiannya melepas tanpa membebaskan Shanmugam untuknya dituduh selepas ini.
Beliau juga membenarkan Ahmad Azam diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin manakala Zhafran menetapkan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin
Kedua-dua mahkamah menetapkan 22 Nov depan untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA