Bekas Ketua Pengarah MSN Zolkples Embong meninggal dunia

Astro Awani
Oktober 3, 2021 11:07 MYT
Zolkples Embong meninggal dunia di kediamannya di Pandan Indah pagi ini dipercayai akibat sakit jantung.
AMPANG: Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong, 62, meninggal dunia di kediamannya di Pandan Indah, di sini, pagi ini, dipercayai akibat sakit jantung.
Berita mengenai pemergian Zolkples dikongsi di laman Twitter @AtletMalaysia pada pukul 10.23 pagi ini.
"Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Seri Zolkples Embong meninggal dunia pagi tadi," demikian menurut kemas kini tersebut.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam kemas kini di Facebook turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Zolkples.
"Semoga rohnya mendapat rahmat dengan anugerah keampunan daripada Allah SWT serta dikurniakan tempat bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh," kata beliau.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Seri Zolkples Embong meninggal dunia pagi tadi Al-Fatihah.. pic.twitter.com/8GKzdobAWQ

— #TeamMALAYSIA (@AtletMalaysia) October 3, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Menurut Bernama, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak ketika mengesahkan perkara itu berkata, jenazah Zolkples dihantar ke Hospital Kuala Lumpur bagi tujuan bedah siasat.
"Anak saudara dan pembantu peribadi beliau meminta bantuan polis untuk membuka pintu rumah arwah kira-kira 10 pagi tadi selepas beberapa panggilan dibuat tidak dijawab.
"Selepas polis berjaya membuka pintu rumah, jenazah Zolkples ditemukan terbaring.
"Punca dan waktu kematian akan diketahui setelah selesai bedah siasat," katanya ketika dihubungi.
Sumber Facebook pejaofperak
Difahamkan, jenazah Zolkples ditemukan terbaring di bahagian dapur rumahnya.
Turut difahamkan, beberapa pegawai MSN gagal menghubungi beliau sejak Jumaat lepas, selepas mendapati Zolkples tidak hadir solat Jumaat di Vista MSN Bukit Jalil.
Sementara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan kematian Zolkples sebagai kehilangan seorang kawan dan guru yang mengajarnya tentang dunia sukan.
"Banyak jasanya kepada pembangunan sukan negara termasuk pembangunan sukan berbasikal yang melahirkan ramai jaguh dunia.
"Semoga rohnya dicucuri rahmat. Salam takziah buat keluarga dan sahabat terdekat.
"Al-Fatihah," tulis beliau dalam entri tersebut.
Untuk rekod, Allahyarham Zolkples memegang jawatan sebagai ketua pengarah MSN selama tujuh tahun sejak dari April 2007 hingga Disember 2014.
Allahyarham kemudian dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) pada 2017.
[TERKINI] Bekas KP MSN, Zolkples Embong meninggal dunia
#Bekas Ketua Pengarah MSN #Majlis Sukan Negara #sakit jantung #Zolkples Embong
;