Bekas Ketua Menteri mohon maaf keluarkan dakwaan palsu
Astro Awani
September 30, 2015 12:50 MYT
September 30, 2015 12:50 MYT
Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka untuk kali ke-3 dalam empat hari kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang didakwanya telah memeluk agama Kristian Katolik.
Permohonan maaf dalam Bahasa Malaysia itu dimuat naik di laman Facebook dan Twitter milik Rahim pada 6 petang semalam, selepas mengeluarkan kenyataan yang sama dalam Bahasa Inggeris pada Isnin.
"Merujuk kepada status saya di Twitter dan Facebook mengenai dakwaan Raja Muda Selangor memeluk agama Katolik, saya mengakui ia dari sebuah laman web tidak berasas.
"Saya memohon maaf di atas kesulitan dan kesusahan kepada Raja Muda Selangor dan Istana Selangor disebabkan status tersebut," katanya menerusi laman Facebooknya, Rahim Tamby Chik.
Dakwaan itu sebelum ini dinafikan Istana Selangor dan disifatkan sebagai tidak berasas, tidak benar dan berunsur fitnah.
Berita palsu yang mengaitkan penukaran agama Tengku Amir Shah setelah terbabit dengan seorang wanita Hispanik merupakan dakwaan atas talian yang dibuat-buat, tidak benar dan telah ditolak oleh pihak istana pada Julai tahun lalu.
Pengesahan penerimaan Istana Selangor mengenai permohonan maaf Rahim masih belum dipastikan.
Pihak Mahkamah DiRaja Majlis Negeri Selangor dijadual bermesyuarat bagi membincangkan lanjut perkara itu.
#Facebook
#Kristian Katolik
#permohonan maaf
#Rahim Thamby Chik
#Raja Muda Selangor
#tengku amir shah
#Twitter