Bekas Ketua Hakim Negara Md Raus akan diterima masuk sebagai peguam bela, peguam cara

Bernama
Januari 15, 2024 15:30 MYT
Bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif akan diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya, Rabu ini (17 Jan). -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif akan diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya, Rabu ini (17 Jan).
Firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dalam kenyataan media hari ini memaklumkan prosiding petisyen penerimaan masuk peguam bela dan peguam cara atau dikenali sebagai upacara ‘long call’ akan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pada 9.30 pagi.
"Pada upacara itu, Tun Md Raus akan dipakaikan jubah peguam oleh bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin," menurut firma berkenaan.
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun pula akan mengusulkan kemasukan Md Raus sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya.
Md Raus memegang jawatan Ketua Hakim Negara bermula April 2017 dan meletak jawatan pada Julai 2018.
Beliau yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya pada 1976, pernah memegang jawatan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dari September 2011 hingga April 2017.
Pada 1994, Md Raus dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi sejak 1996 dan menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 2006.
-- BERNAMA
#Bekas Ketua Hakim Negara #Md Raus Sharif #peguam bela dan peguam cara #Mahkamah Tinggi Malaya
;