Bekas kerani didenda RM2,800 melacur di hotel di Melaka
Sinar Harian
Januari 9, 2024 17:57 MYT
Januari 9, 2024 17:57 MYT
MELAKA: Seorang bekas kerani wanita didenda sebanyak RM2,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa, terhadap pertuduhan melakukan kegiatan melacurkan diri di sebuah hotel, minggu lalu.
Zami Nor Aida Che Ya, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hasni.
Berdasarkan pertuduhan, dia yang belum berkahwin didapati telah mencari langganan bagi maksud persundalan sebuah hotel di Jalan Tun Sri Lanang, di sini, kira-kira jam 7.40 malam, 5 Januari lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishar memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap wanita itu sebagai pengajaran kepadanya dan masyarakat.
Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu hukuman diringankan dengan alasan tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai kerani telah berhenti kerja.
Mahkamah mengarahkan tertuduh membayar denda RM2,800 dan jika gagal akan dipenjara selama empat bulan. - Sinar Harian