Bekas kerani akaun didakwa lapan pertuduhan pecah amanah babit RM70,000

Bernama
Mei 25, 2023 07:19 MYT
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu ketika bertugas sebagai kerani akaun di sebuah gedung pakaian pada 2015 hingga 2019. -Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Seorang bekas kerani akaun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan pecah amanah melibatkan lebih RM70,000.
Janet PC Gomes, 38, yang kini bekerja sebagai penyambut tetamu hotel, dituduh melakukan perbuatan itu ketika bertugas sebagai kerani akaun di sebuah gedung pakaian pada 2015 hingga 2019.
Dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan menunaikan lapan cek milik syarikat berkenaan untuk kegunaannya sendiri dan pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 14 tahun, sebat dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan.
Sementara itu, peguam yang mewakili tertuduh, T. Tamil Salvan, V. Parthipan dan Shamsher Singh Thind memohon agar jaminan dikurangkan atas alasan suami Gomes mempunyai masalah kesihatan yang serius selain tertuduh juga telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.
Hakim Mohammad Khalid Ab Karim menetapkan 4 Julai untuk sebutan semula kes dan membenarkan wanita itu diikat jamin RM6,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.
-- BERNAMA
#Janet PC Gomes #kerani akaun #pertuduhan pecah amanah #gedung pakaian