Bekas kelindan lori bunuh nenek 85 tahun kekal ke tali gantung

Bernama
Februari 27, 2024 20:26 MYT
Sathiaraj didapati bersalah membunuh wanita itu di sebuah rumah flat di Kampung Tasik Tambahan, Ampang, Selangor. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas seorang bekas kelindan lori kerana membunuh wanita warga emas berusia 85 tahun selepas merogol dan meliwatnya di sebuah rumah flat di Kampung Tasik Tambahan, Ampang, lima tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail sebulat suara menolak rayuan K. Sathiaraj, 31, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos 2022.
"Kami mendapati tiada merit dalam rayuan perayu dan sabitan adalah selamat. Ini adalah kes yang sesuai untuk dijatuhkan hukuman mati. Justeru itu, sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan dan rayuan perayu ditolak," kata Hadhariah yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk S.M.Komathy Suppiah.
Sathiaraj didapati bersalah membunuh wanita itu di sebuah rumah flat di Kampung Tasik Tambahan, Ampang, Selangor antara 11.40 pagi hingga 1 petang, 19 Sept 2019 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Sebelum ini, lelaki itu yang mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan meliwat warga emas berkenaan dihukum penjara 13 tahun dengan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang. Namun, dia tidak merayu terhadap keputusan mahkamah itu.
Terdahulu, peguam Hasshahari Johari Mawi mewakili Sathiaraj berhujah pihak pembelaan sebelum ini tidak pernah membangkitkan perayu hilang kewarasan dan ini merupakan pertama kali isu mental perayu dibangkitkan di Mahkamah Rayuan memandangkan wujudnya fakta-fakta berkaitan dengan pembelaan sedemikian.
"Semasa keterangan perayu di peringkat pembelaan, perayu menceritakan walaupun RM1 dia akan mengambilnya, malah kehidupan perayu dijalanan, beli dadah dan mencuri semua diakui, diceritakan dan tidak dinafikan dilakukan oleh perayu. Kesimpulannya hanya orang yang tidak mempunyai akal yang waras melakukan perkara-perkara yang telah diakui dalam keterangannya.
"Oleh itu, saya mohon agar rayuan ini dibenarkan atau mahkamah ini mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dan menggantikan dengan hukuman pemenjaraan seperti terdapat dalam Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023," kata peguam itu yang turut dibantu Muhamad Hafizan Shafuan Kamarulzaman.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari pula berhujah hakim Mahkamah Tinggi telah mematuhi Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dengan menghantar perayu ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak dan berdasarkan laporan perubatan, perayu layak dibicarakan malah tiada dalam keterangan menyatakan perayu tidak waras pada masa kejadian.
"Berdasarkan keseluruhan keterangan, perayu dapat ingat satu persatu kronologi kejadian iaitu semasa dan selepas kejadian. Mangsa merupakan wanita warga emas berusia 85 tahun, yang bukan sahaja diliwat dan dirogol malah dirompak dan dibunuh dengan cara yang amat menyedihkan.
"Mulut (mangsa) disumbat dengan kain yang agak besar sehingga menghalang pernafasan, muka dibalut dengan dua lapisan kain dan tangannya diikat ke belakang. Oleh itu, saya mohon agar hukuman mati dikekalkan terhadap perayu," katanya.
-- BERNAMA
#hukuman mati #warga emas #Mahkamah Rayuan #mengaku bersalah
;