Bekas kapten tentera dan rakan samun dicekup polis
Astro Awani
Mei 21, 2018 17:59 MYT
Mei 21, 2018 17:59 MYT
Seorang bekas pegawai tentera darat berpangkat kapten yang melarikan wang tunai RM2.6 juta dari bilik kebal di sebuah syarikat kawalan keselamatan di Sungai Dua, Rawang pada 14 Mei lalu putih mata, apabila dia dan empat rakan subahatnya berjaya ditangkap polis.
Bekas pegawai tentera bersama tiga rakannya masing-masing pegawai tentera berpangkat kapten dan koperal serta seorang orang awam itu ditahan secara berasingan pada 18 Mei lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, hasil risikan, pihaknya melakukan serbuan pada 18 Mei lalu di Putrajaya kira-kira jam 12.30 pagi dan menahan seorang lelaki berusia 34 tahun.
Menurutnya, semakan mendapati lelaki itu juga merupakan pegawai tentera berpangkat kapten di Markas Staff Station, Kuantan, Pahang dan sedang diambil tindakan tatatertib oleh pihak atasan.
Kata beliau, hasil soal siasat ke atas suspek itu kemudiannya membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah di Kuantan pada jam 6.45 pagi hari yang sama.
"Kita berjaya tahan suspek utama iaitu bekas pegawai tentera yang melarikan wang serta seorang lagi lelaki berusia 30 tahun yang juga anggota tentera berpangkat koperal dari Kem 4 Brigade Batu 10, Kuantan.
"Pemeriksaan dalam rumah menemui wang tunai berjumlah RM715, 000 yang disimpan dalam dua buah beg," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Susulan penahanan itu Mazlan menambah, polis memperoleh maklumat mengenai suspek keempat yang juga anggota tentera berpangkat koperal dari kem yang sama.
Menurutnya, suspek berkenaan ditahan polis pada jam 8.25 pagi di Kuantan dan turut dirampas wang tunai berjumlah RM100,000 dalam sebuah beg.
Katanya, serbuan diteruskan pada hari yang sama sebelum polis menangkap suspek terakhir di kawasan Sepang pada jam 10 malam.
"Kita menemui wang tunai berjumlah RM427,897 bersama suspek lelaki berusia 41 tahun itu.
"Dengan penahanan lima suspek itu, polis berjaya merampas semula sebahagian wang tunai dilarikan berjumlah RM1.2 juta. Kita akan siasat lebih lanjut lagi kerana laporan diterima mendakwa kehilangan wang bernilai RM2.6 juta," katanya.
Ujarnya, semua suspek ditahan berusia antara 30 hingga 41 tahun itu direman sehingga 24 Mei untuk siasatan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Dalam kejadian pada 14 Mei lalu, suspek dikatakan terlebih dahulu datang ke syarikat kawalan keselamatan terbabit untuk menumpang tidur pada pukul 9 malam.
Suspek kemudian mengejutkan tiga pegawal keselamatan yang bertugas dengan memaklumkan bilik kebal syarikat itu tidak berkunci lalu mengurungkan ketiga-tiga mangsa di bilik berkenaan.
#API
#bekas tentera
#bilik kabel
#kapten
#Pahang
#polis
#samun
#Sepang
#syarikat pengawal keselamatan
#tatatertib