Bekas kapten kapal dituduh membunuh
Bernama
Januari 17, 2013 16:15 MYT
Januari 17, 2013 16:15 MYT
Bekas kapten kapal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Khamis terhadap tuduhan membunuh seorang pengamal perubatan tradisional pada 4 Jan lepas.
Sharunizam Salleh, 43, dari Bandar Kinrara, yang memakai kemeja-T berwarna hitam dan berseluar jean, hanya menganggukkan kepalanya tanda faham terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Tiada pengakuan direkodkan.
Dia didakwa membunuh Asli Hamid, 44, di tepi Jalan Pekaka 8/7A, Seksyen 8, Kota Damansara, Petaling Jaya, antara 8.30 malam dan 9.30 malam 4 Jan lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika didapati bersalah.
Majistret Nazri Omran menetapkan 4 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, isteri Sharunizam yang ditahan bersamanya dibebaskan hari ini dengan ikat jamin polis.