Bekas kakitangan Puspakom mengaku tidak bersalah palsu dokumen bernilai RM52,500

Astro Awani
Januari 21, 2021 15:10 MYT
Hakim Rihaida membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 27 Januari ini.
SHAH ALAM: Seorang bekas kakitangan Puspakom Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan termasuk tuduhan memalsukan dokumen bernilai RM52,500, lima tahun lalu.
Noor Marliza Ishak, 48 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rihaida Rafie selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memalsukan dokumen iaitu invois Kezens Gale bernilai RM52,500 dengan tujuan menipu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Noor Marliza juga didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan pilihan dan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 465 akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Puspakom, Wisma DRB Hicom, Seksyen U1 pada 24 Jun 2016.
Hakim Rihaida membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 27 Januari ini.
#mahkamah #Mahkamah Sesyen #Puspakom #Kezens Gale
;