Bekas kakitangan JKM didakwa 25 pertuduhan seleweng wang
Sinar Harian
Ogos 4, 2021 06:53 MYT
Ogos 4, 2021 06:53 MYT
GEORGE TOWN: Seorang bekas Pembantu Pembangunan Masyarakat di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Timur Laut dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas 25 pertuduhan penyelewengan wang membabitkan RM107,370.
Mohamed Hussain Mohamed Mydin, 41, didakwa melakukan kesalahan itu di antara tahun 2014 dan 2017.
Tertuduh mengaku bersalah terhadap 16 pertuduhan dan dikenakan denda RM16,000 selepas membuat pengakuan tersebut di dua mahkamah majistret berasingan pada pagi Rabu.
Di mahkamah pertama, tertuduh menghadapi 12 pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi penjelasan terhadap wang dalam akaun miliknya.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa gagal memberikan keterangan memuaskan terhadap wang berjumlah RM52,049 dalam akaun simpanan peribadinya dalam tempoh 2014 hingga 2017.
Pertuduhan itu susulan laporan polis dibuat pegawai JKM Timur Laut selepas mendapati berlaku penyelewengan wang jabatan terbabit berjumlah RM107,370 yang dibuktikan menerusi laporan audit antara tahun 2013 dan 2017.
Kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Manomani yang kemudian menetapkan denda maksimum RM1,000 untuk setiap satu pertuduhan terhadap tertuduh.
Tertuduh boleh dikenakan hukuman dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Dalam pada itu, di mahkamah berasingan, Mohamed Hussain mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 selepas gagal memberikan keterangan memuaskan terhadap wang berjumlah RM11,260 di dalam akaun simpanan peribadinya dalam tempoh 2014 hingga 2016.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Rosnee Mohd Ridzuan.
Rosnee kemudian menetapkan hukuman penjara sehari untuk setiap satu pertuduhan dan denda maksimum RM1,000 bagi setiap satu pertuduhan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM16,000.
Sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut, dia boleh dipenjara lima bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur Athirah dan Mohamed Nazri Abdul Rahim.
Tertuduh diwakili R Puran dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Sementara itu, bagi sembilan lagi pertuduhan, tertuduh telah membuat pengakuan bersalah di hadapan pembantu pendaftar mahkamah, Muna Maria Azmi, bagaimanapun keputusan terpaksa ditangguhkan kerana Majistret sedang bercuti.
Mahkamah menetapkan 25 Ogos depan untuk menjatuhkan hukuman.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.