Bekas jurutera rugi lebih RM9 juta terperdaya pelaburan kripto tidak wujud

Bernama
Januari 15, 2025 13:50 MYT
Mangsa yang enggan berbuat demikian cuba menghubungi dua individu yang pernah berurusan sebelum ini, namun gagal menyebabkannya membuat laporan polis semalam. -Gambar hiasan/Pixabay
JOHOR BAHRU: Seorang bekas jurutera mendakwa kerugian RM9.47 juta selepas terperdaya dengan pelaburan mata wang kripto tidak wujud secara dalam talian, bermula Oktober tahun lepas.

Ringkasan AI
  • Bekas jurutera mendakwa kerugian RM9.47 juta akibat pelaburan mata wang kripto tidak wujud.
  • Mangsa tertarik dengan iklan di media sosial yang menjanjikan pulangan sehingga 50 kali ganda dan membuat 29 transaksi pembayaran.
  • Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, dengan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata mangsa yang berusia 63 tahun itu dikatakan tertarik dengan pelaburan yang diiklankan di media sosial pada Julai tahun lepas, kerana ia menjanjikan pulangan sehingga 50 kali ganda.
"Mangsa mendakwa dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp selepas menekan pautan pada iklan tersebut, sebelum dihubungi oleh dua individu yang memberi penerangan mengenai pelaburan tersebut.
"Mangsa telah membuat 29 transaksi pembayaran antara Oktober hingga Disember tahun lalu ke 11 akaun bank berbeza, yang berjumlah RM9.47 juta," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Kumar berkata mangsa mendakwa dirinya telah memperoleh keuntungan RM88 juta, namun dimaklumkan perlu membuat bayaran RM800,000 untuk mengeluarkan wang itu.
Mangsa yang enggan berbuat demikian cuba menghubungi dua individu yang pernah berurusan sebelum ini, namun gagal menyebabkannya membuat laporan polis semalam.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
#pelaburan mata wang kripto tidak wujud #pelaburan dalam talian #Seksyen 420 Kanun Keseksaan #transaksi pembayaran
;