Bekas juruteknik universiti mengaku tidak bersalah miliki pistol, peluru

Bernama
Ogos 8, 2024 15:15 MYT
Mohamad Ikhram Mohamad Rusli, 34, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Zulkifli Abblah. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Seorang bekas juruteknik di sebuah universiti awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan memiliki pistol dan peluru pada 31 Julai lepas.
Mohamad Ikhram Mohamad Rusli, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulkifli Abblah.
Dia dituduh memiliki sepucuk pistol Zoraki M 906-T dalam sebuah Volkswagen Golf GTI di Beris Kubor Besar, Bachok pada 1.15 pagi 31 Julai lepas dan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37], yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pada tarikh, lokasi dan masa yang sama, dia didakwa memiliki peluru tanpa lesen antaranya tiga butir amunisi dengan tulisan PMC 380 Auto, lima butir amunisi dengan tulisan A USA 380 Auto dan 10 butir amunisi dengan tulisan PAC 380 Auto.
Bekas juruteknik itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 Akta yang sama, yang memperuntukkan penjara hingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan kerana kes itu bersabit senjata api dan menetapkan 8 Sept depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam.
-- BERNAMA
#juruteknik universiti #pistol dan peluru #kes mahkamah #Kelantan
;