Bekas jururawat hilang RM1.9 juta diperdaya skim pelaburan palsu
Adie Sufian Zulkefli
September 4, 2024 10:45 MYT
September 4, 2024 10:45 MYT
ALOR SETAR: Seorang pesara jururawat berusia 76 tahun kerugian lebih RM1.9 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud.
Mangsa yang sebelum ini bekerja di Sydney, Australia itu terpedaya apabila melihat pelaburan skim palsu yang diiklankan melalui laman YouTube.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kedah, Superintendan Loi Yew Lik berkata, pada awalnya, mangsa berurusan dengan wakil syarikat terbabit dan diterangkan berkaitan pelaburan itu melalui kelas dalam talian.
Pada 17 Jun lalu, mangsa membuat bayaran modal berjumlah RM100,000 sebelum meneruskan 19 kali transaksi pindahan wang untuk bayaran-bayaran lain ke pelbagai akaun yang dibekalkan.
Keseluruhan pindahan wang dilakukan mangsa ke akaun pelaburan palsu itu ialah sebanyak RM1.9 juta.
"Mangsa dijanjikan akan mendapat keuntungan dalam tempoh masa sebulan namun sehingga laporan polis dibuat semalam (Selasa) di Balai Polis Jitra, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan," kata Yew Lik dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Menurut Yew Lik, siasatan mendapati pelaburan itu adalah palsu dan menggunakan nama syarikat pelaburan, Capital Dynamic yang juga sebuah firma antarabangsa.
Sehubungan itu, JSJK Kedah, tegas beliau, menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran pelaburan keuntungan lumayan supaya tidak menjadi mangsa sindiket pelaburan tidal wujud.
"Orang awam juga dinasihatkan supaya membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan laman web HTTPS://SEMAKMULE.RMP.GOV.MY sebelum membuat pelaburan kepada mana-mana syarikat atau platform pelaburan,” jelas Yew Lik lagi.