Bekas jurugambar Utusan Malaysia derita gout kronik
Umavathi Ramayah
Julai 26, 2023 09:00 MYT
Julai 26, 2023 09:00 MYT
KUALA TERENGGANU: Satu demi satu dugaan menimpa bekas jurugambar Utusan Malaysia, Azlan Bahrum.
Selepas hilang pekerjaan pada akhir 2019 akibat syarikat akhbar itu menghentikan operasinya, tekanan atau stress melampau mencetuskan serangan gout kronik kepada lelaki berusia 39 tahun itu.
Sendi pada kaki dan tangan Azlan semakin lemah, sehingga membataskan pergerakan dan membuatkan dia terpaksa menggunakan alat bantuan seperti tongkat dan kerusi roda.
Malah, dia juga tidak dapat melakukan kerja sampingan kerana khutair tidak dapat menyempurkan kerja berkenaan.
"Bukan saya tak nak ambil kerja, cuma saya tak tahu bila gout akan serang, jadi adalah tidak adil kepada pelanggan jika saya tak dapat lengkapkan kerja yang diberi.
"Ramai yang menawarkan kerja secara dalam talian, terutamanya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, cuma saya terpaksa tolak kerana takut nak ambil risiko dan mengecewakan mereka (pelanggan)," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, di sini pada Selasa.
Azlan yang berkahwin dengan Norhaspida Yatim, 37, juga wartawan akhbar tempatan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Aqif Rayyan, 10; Awatif Nur Adawiyah, 9, dan Awfiyah Nur Umairah, 7.
Menurut Azlan, kini dia bergantung sepenuhnya kepada isterinya bukan sahaja untuk membantu menguruskan dirinya, bahkan pendapatan.
Penderitaan Azlan, berusia 39 tahun itu turut mendapat perhatian Pengerusi UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahinya.
Bekas Menteri Besar Terangganu itu memberitahu, UMNO Terengganu akan menyalurkan bantuan kepada Azlan berdasarkan keperluan semasa.