Bekas jurugambar hilang di laut ditemui selamat
Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 13, 2021 10:40 MYT
Oktober 13, 2021 10:40 MYT
BALIK PULAU: Seorang bekas jurugambar akhbar di Pulau Pinang yang dilaporkan hilang di laut pada Selasa ditemukan selamat di perairan berdekatan Pulau Kendi, hari ini.
Mangsa, Wan Mohizan Wan Hussein, 55, berjaya diselamatkan nelayan tempatan di pulau berkenaan sebelum dibawa ke Jeti Pantai Malindo, Jalan Kuala Sungai Burung, pagi tadi.
Mangsa dilaporkan keluar ke laut pada jam 3 petang semalam dan gagal ditemukan selepas bot dinaikinya terbalik.
Dalam kejadian itu, mangsa yang memakai jaket keselamatan terpaksa berenang ke Pulau Kendi, bagi menyelamatkan diri.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dalam kenyataan memaklumkan pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 8.18 malam berhubung kejadian tersebut.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan.
Gerakan mencari dan menyelamat dilakukan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Pulau Pinang dengan bantuan polis.
Sehingga jam 11. 30 malam, tiada petunjuk mengenai kedudukan mangsa atau bot di lokasi dan operasi mencari ditangguhkan sementara.
"Pasukan mencari kemudian menerima maklumat daripada polis mengenai penemuan mangsa pada 6.30 pagi tadi.
"Mangsa ditemui selamat oleh nelayan tempatan di pulau berkenaan sebelum dibawa ke Jeti Pantai Malindo, Jalan Kuala Sungai Burung dan operasi pencarian ditamatkan pada jam 7 pagi," katanya.