Bekas jurugambar derita gout kronik, sakit buah pinggang

Nur Fazlizai Ali
Mei 14, 2020 11:59 MYT
Lebih meruntun jiwa, anak-anak mereka yang berusia empat sehingga tujuh tahun sering bertanya mengapa bapa mereka tidak seperti orang lain. - BERNAMA
Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah gambaran nasib yang menimpa bekas jurugambar Utusan Malaysia, Azlan Bahrum, 36.
Sudahlah kehilangan punca pendapatan selepas syarikat tempatnya bekerja menutup operasi kira-kira tujuh bulan lalu, kini bapa kepada tiga cahaya mata itu terpaksa menanggung derita akibat penyakit gout kronik yang membuatkan sendinya bengkak serta hilang keupayaan untuk bergerak sendiri.
Menurut isterinya, Norhaspida Yatim, kesihatan suaminya semakin merosot sejak dua bulan lalu dan keadaan bertambah sukar selepas Azlan turut disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap empat akibat pengambilan ubat penahan sakit sejak sekian lama.
Berikutan itu, Norhaspida yang bertugas sebagai wartawan Sinar Harian di Terengganu menjadi tonggak keluarga selepas Azlan tidak lagi dapat bekerja.
Lebih meruntun jiwa, anak-anak mereka yang berusia empat sehingga tujuh tahun sering bertanya mengapa bapa mereka tidak seperti orang lain.
“Saya tersentuh apabila anak kecil yang tidak ahu apa-apa itu bertanya tentang ayahnya. Dia tidak tahu ayah sakit. Dia selalu menerpa, tepuk-tepuk ayah dia.
“Memang sakitlah ayah dia, memang menjerit marahlah... bila kena marah anak saya lari, dia cakap sedih kenapa papa jadi macam ni, kenapa Allah buat papa sakit,” katanya.
Norhaspida kini terpaksa membahagikan masanya untuk bekerja serta menguruskan anak-anak serta suaminya yang kerap terlantar di katil.
Sementara itu, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin berkata, pihaknya akan membantu dari segi perubatan, pencen ilat dan lain-lain.
“Kalau tiada kekangan dan permohonan memenuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Perkeso, beliau layak untuk mendapat faedah pencen ilat.
“Ini untuk meneruskan kesinambungan hidup kerana beliau sekarang tidak lagi bekerja,” katanya.
Mana-mana pihak yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Norhaspida Yatim (156057287629) atau menghubungi nombor telefon 019-9576620.
#anak #gout #hilang #keselamatan #operasi #perubatan
;