Bekas jaguh golf negara, Jalal Deran meninggal dunia

Bernama
April 19, 2023 22:11 MYT
Anak saudaranya Ahmad Zailani Darwis berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada kira-kira 11 pagi. - Gambar fail
IPOH: Bekas jaguh golf negara Jalal Deran meninggal dunia akibat sakit tua dan buah pinggang pada usia 76 tahun di kediamannya di Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 3, Manjoi di sini hari ini.
Anak saudaranya Ahmad Zailani Darwis, 56, berkata Allahyarham yang merupakan anak kelahiran Ipoh menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada kira-kira 11 pagi.
"Arwah sakit tua dan menghidap penyakit buah pinggang tahap lima, baru sahaja sembuh daripada COVID-19 dan pulang ke rumah setelah beberapa hari menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh selepas mengadu tidak sihat serta demam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata jenazah Allahyarham disembahyangkan di masjid berhampiran kediamannya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurap di sini selepas solat asar.
Katanya Allahyarham meninggalkan isteri Robayah Mat Rais, 76, dan seorang anak lelaki serta empat anak perempuan.
Ditanya mengenai penglibatan Allahyarham dalam bidang golf, Ahmad Zailani berkata arwah bapanya, Darwis Deran bersama Jalal pada asalnya memulakan perkhidmatan sebagai pengutip bola golf yang digelar sebagai 'caddy' beberapa dekad lalu sebelum menonjolkan bakat dalam bidang sukan itu sehingga mewakili Perak dan Malaysia.
Antara kejayaan Allahyarham Jalal termasuklah menyandang gelaran johan dalam Kejohanan Golf Terbuka Amatur Malaysia pada 1969.
Selain itu, Jalal pernah menjuarai Malaysian Amateur Close Role of Honor 1967 dan mempertahankan kejuaraan pada tahun berikutnya.
Arwah juga menjuarai Asian Senior Master Golf pada 1968 dan 1969 selain pernah mewakili negara dalam World Amateur Golf 1969 dan 1972 di Amerika Syarikat dan Australia.
-- BERNAMA
#golf #COVID-19 #mempertahankan kejuaraan #mewakili negara
;