Bekas isteri SM Faisal jalani hukuman 7 hari di Penjara Wanita Kajang
Hasimi Muhamad
Jun 27, 2022 12:05 MYT
Jun 27, 2022 12:05 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas isteri ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, Emilia Hanafi menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengenai tarikh lawatan tiga anaknya.
Hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini selepas Emilia, 43, hadir di Mahkamah Syariah dan menyerah diri.
Menurut peguam syarie, Nazri Yahya yang mewakili Emilia, anak guamnya itu akan menjalani hukuman penjara berkenaan di Penjara Wanita Kajang.
"Selepas selesai menjalani hukuman penjara, anak guam saya akan hadir untuk prosiding di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang ditetapkan pada 6 Julai," katanya kepada pemberita, di sini.
Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap
Emilia selepas membenarkan permohonan komital (menghina mahkamah) yang difailkan Faisal apabila wanita itu mengubah tarikh lawatan anak-anaknya.
Emilia kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.
Pada 8 Jun lalu, Emilia turut memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadapnya kerana mengubah tarikh lawatan anak-anak untuk bersama bapa mereka.
Dalam permohonan itu, Emilia menyatakan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hanya mempunyai bidang kuasa mahkamah tempatan yang terhad berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 4 Akta Undang-Undang Keluarga (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Emilia memohon suatu deklarasi bahawa Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur tidak memiliki bidang kuasa untuk mendengar prosiding komital dan menghukum individu yang bukan pemastautin Wilayah Persekutuan atas kesalahan menghina mahkamah.
Emilia juga memohon suatu perintah larangan untuk menahan prosiding komital syariah iaitu permohonan kebenaran mengeluar Notis Tunjuk Sebab (NTS) di Mahkamah Tinggi Syariah yang difailkan oleh S.M Faisal.
Terdahulu, Emilia ketika ditemui media berharap kesnya itu menjadi contoh dalam mendapatkan keadilan yang sewajarnya.
Sebelum ini, peguam Siti Kassim berkata, Emilia terpaksa berbuat demikian kerana tekanan emosi berterusan dan trauma dihadapinya.