Bekas 'Home Guard' mengimbau kembali detik hitam diserang komunis

Nur Fazlizai Ali
Ogos 22, 2021 08:35 MYT
Menurut Che Wan Muda, generasi muda hari ini perlu memelihara keharmonian dan kemakmuran yang telah dikecapi. - Astro AWANI
KEMAMAN: Biarpun lebih 60 tahun telah berlalu, namun detik hitam diserang hendap pengganas komunis masih kekal dalam ingatan bekas anggota 'Home Guard' yang berusia 84 tahun ini.
Apa tidaknya, Che Wan Muda Che Wan Su melihat sendiri bapa saudaranya mati ditembak sekumpulan pengganas komunis dalam satu tragedi serang hendap di Kampung Air Putih, Kemaman.
Che Wan Muda berkata, dia mula menyertai pasukan 'Home Guard' pada usia 18 tahun bagi menjaga keamanan kampungnya di Pasir Gajah daripada ancaman pihak komunis.
Warga emas yang mesra dengan panggilan Pak Long Wan berkata, ketika kejadian, dia bersama bapa saudara serta sepupunya itu dan sekumpulan ‘Home Guard’ telah ditugaskan untuk mengiringi sebuah lori untuk menghantar bekalan beras ke kampung berkenaan.
Bagaimanapun ketika melalui satu selekoh, sekumpulan komunis menyerang mereka dari atas sebuah bukit menyebabkan berlaku pertempuran, dan pihak komunis turut membakar lori yang membawa bekalan beras itu.
"Ikut jalan raya, sampai selekoh, sekumpulan komunis dalam 40 orang lakukan serang hendap.
"Bapa saudara saya maut manakala sepupu saya cedera parah terkena tembakan," cerita Pak Long Wan.
Jelasnya, ketika pertempuran itu dia sempat mencari tempat berlindung manakala bapa saudaranya gagal mengelak tembakan musuh lalu meninggal dunia bersama seorang lagi rakannya dan sepupunya cedera parah.
Pak Long Wan yang berkongsi detik-detik cemas itu berkata, hanya dia daripada 33 orang bekas ‘Home Guard’ yang pernah bertugas di zaman komunis dahulu, masih ada.
"Kalau ada sesiapa yang ingin melakukan keadaan huru-hara di Malaysia ini, mereka patutu ditangkap dan dikurung.
"Mengikut laporan media dan desus-desus orang ramai, memang ada kumpulan ini yang tidak suka tengok negara kita aman damai," katanya lagi.
Menurut Che Wan Muda, generasi muda hari ini perlu memelihara keharmonian dan kemakmuran yang telah dikecapi itu dan tidak mencemarkannya dengan pelbagai perbuatan yang merosakkan negara.
Katanya, dahulu rakyat bersatu hati mempertahankan tanah air daripada ancaman komunis, dan kini rakyat juga perlu bersatu hati untuk menangani dan memutuskan rantaian COVID-19 yang menjadi musuh negara.
#komunis #Home Guard #pengganas #Che Wan Muda Che Wan Su #serang hendap #tembak #mati
;