Bekas guru alami demensia hilang ditemui selamat selepas hampir 5 hari
Umavathi Ramayah
November 15, 2024 15:05 MYT
November 15, 2024 15:05 MYT
KAJANG: Seorang bekas guru berusia 84 tahun yang hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Baru Bangi, di sini sejak Isnin lalu ditemui dalam keadaan selamat.
Anak mangsa, S Devananthan mengesahkan perkara itu kepada Astro AWANI di sini pada Jumaat.
Menurutnya, mangsa, Subramaniam Gopal ditemui seorang tukang potong rumput dan ketika ditemui keadaan mangsa sangat lemah.
“Kami dalam perjalanan ke Hospital Serdang untuk membuat pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Sebelum ini perkongsian di Facebooknya, Devananthan memberitahu , mangsa kali terakhir dilihat di Klinik Kesihatan Bandar Baru Bangi, kira-kira pukul 5 petang, Isnin lalu.
Klinik itu katanya terletak, kira-kira tiga kilometer dari kediamannya.