Bekas eksekutif kanan MARA didakwa terima rasuah RM45,000

Bernama
Ogos 30, 2024 13:30 MYT
Fauzi didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM45,000 kerana memudahkan pinjaman wang yang dibuat sebuah syarikat daripada agensi itu. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas Eksekutif Kanan Bahagian Pembangunan Industri dan Infrastruktur Majlis Amanah Rakyat (MARA) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM45,000 kerana memudahkan pinjaman wang yang dibuat sebuah syarikat daripada agensi itu.
Fauzi Yaacob, 55, yang kini Ketua Unit Pengurusan Aset dan Perolehan Harta Prima Realties Sdn Bhd mengaku tidak bersalah selepas lima pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Berdasarkan kelima-lima pertuduhan, Fauzi didakwa sebagai eksekutif kanan itu menerima wang berjumlah RM45,000 menerusi akaun bank Public Islamic milik Amierul Shabir Hariri daripada Pengarah Syarikat Kip Care Sdn Bhd Abdul Rahman Richard Abdullah yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Kampung Baru di sini, antara 11 Sept 2015 dan 15 Feb 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Syahzad Azad Sanusi memohon jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Mohd Zali Shari yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM15,000 bagi kelima-lima pertuduhan kerana anak guamnya mempunyai lapan orang anak, perlu menanggung tujuh anaknya yang masih bersekolah memandangkan isterinya tidak bekerja.
"Anak guam saya juga sedang menjalani rawatan mata di Hospital Selayang. Dia telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan," katanya sambil memohon agar tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan.
Rosli membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 3 Okt ini untuk sebutan kes.
-- BERNAMA
#MARA #Rasuah #Fauzi Yaacob #bekas eksekutif kanan MARA