Bekas eksekutif didakwa guna invois palsu

Bernama
Februari 3, 2023 15:14 MYT
Seorang bekas eksekutif sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini atas 10 pertuduhan menggunakan invois palsu berjumlah RM320,143 berhubung pembayaran peralatan keselamatan kebakaran. - Gambar BERNAMA
KUANTAN: Seorang bekas eksekutif sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 10 pertuduhan menggunakan invois palsu berjumlah RM320,143 berhubung pembayaran peralatan keselamatan kebakaran.
Mohd Hafez Manap, 38, dari Sungai Karang Darat, di sini, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.
Tertuduh selaku eksekutif tindakan kebakaran dan kecemasan, didakwa melakukan kesalahan itu melibatkan invois dengan butiran palsu bagi pembayaran pembekalan pelbagai peralatan keselamatan kebakaran, yang diketahui tertuduh tidak pernah dibekalkan.
Mohd Hafez dituduh melakukan perbuatan itu di pejabatnya di kawasan perindustrian Gebeng di sini antara 26 Jan 2021 hingga 21 Sept 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin, mengambil kira jumlah kesalahan yang dihadapi tertuduh.
Mohd Hafez yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan atas faktor kewangan kerana dia masih belum bekerja selepas dipecat pada April tahun lepas.
"Saya dibuang kerja dengan notis 24 jam selepas siasatan SPRM. Saya ada tanggungan isteri, anak-anak, ibu bapa dan hutang rumah serta kereta. Saya dinasihatkan untuk melantik peguam dan ini akan menambah beban kewangan saya," katanya.
Ahmad Zamzani membenarkan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan hingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 3 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam. - BERNAMA
#bekas eksekutif #invois palsu #Mahkamah Sesyen Kuantan #SPRM
;