Bekas duta Jepun sedih dengan jumlah kematian melibatkan motosikal

Bernama
Januari 5, 2020 17:46 MYT
MIYAGAWA: Saya berasa amat bimbang terhadap masa hadapan golongan muda ini. - Bernama
Kadar kematian yang amat tinggi melibatkan penunggang motosikal dalam kemalangan jalan raya di Malaysia telah menimbulkan rasa kebimbangan kepada bekas Duta Jepun ke Malaysia.
Dr Makio Miyagawa, duta Jepun yang paling lama berkhidmat di sini iaitu kira-kira enam tahun sebelum menamatkan khidmatnya dua bulan lepas berkata, memandangkan kebanyakan penunggang dan pembonceng motosikal yang terbunuh setiap tahun di jalan raya negara ini terdiri daripada belia, "saya berasa amat bimbang terhadap masa hadapan golongan muda ini".
Sepanjang tempoh berada di Malaysia, beliau menyaksikan budaya menunggang motosikal dan sikap tidak peduli golongan ini hingga sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri.
"Kita perlu memberitahu kepada belia yang mempertaruhkan nyawa mereka sekadar untuk berseronok bahawa mereka sebenarnya menggali kubur sendiri tanpa menghiraukan perasaan ibu bapa yang telah melahirkan mereka ke dunia ini.
"Di Jepun, kami diberitahu bahawa dari rambut hingga ke kulit, seseorang itu diberi semua yang ada di seluruh badannya oleh ibu bapa. Jangan sesekali mencederakan diri kerana ia adalah asas bagi menghormati ibu bapa," katanya kepada Bernama di sini semasa percutian seminggu bersama keluarganya awal minggu ini.
#bekas duta jepun #kemalangan jalan raya #makio miyagama #pembonceng motosikal #penunggang motosikal
;