Bekas CEO Kenaf Trading dan anak didakwa keluar iklan skim pelaburan tidak berdaftar

Bernama
Mac 3, 2025 18:20 MYT
Jazman Shahar, 53, dan Irfan Hadi, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dan syarikat itu dibacakan di hadapan hakim. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Kenaf Trading Global Sdn Bhd Jazman Shahar Abdollah dan anak lelakinya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mengeluarkan iklan skim pelaburan kenaf tidak berdaftar antara 2021 hingga 2023.
Jazman Shahar, 53, dan Irfan Hadi, 28, juga bekas pengarah syarikat sama, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dan syarikat itu dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mereka masing-masing didakwa atas dua pertuduhan mengeluarkan iklan untuk membawa individu menjadi peserta dalam skim Kenaf Development Fund yang tidak didaftarkan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 di Plaza Sentral, Jalan Stesen Sentral 5 di sini antara September 2021 hingga Ogos 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 (2) (a) Akta Skim Kepentingan 2016 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Jazman Shahar turut didakwa atas dua pertuduhan terlibat secara langsung dalam pengurusan Kenaf Trading Global sedangkan dirinya semasa tempoh itu berstatus bankrap, pada tahun dan di lokasi sama.
Bagi kesalahan itu, lelaki terbabit dituduh di bawah Seksyen 198 (1) (a) Akta Syarikat 2016 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 198 (7) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM1 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Kenaf Trading Global yang diwakili Irfan Hadi turut didakwa atas dua pertuduhan mengeluarkan iklan untuk membawa individu menjadi peserta dalam skim sama di lokasi dan tempoh serupa, mengikut Seksyen 3 (2) (a) Akta Skim Kepentingan 2016.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Nurul 'Ain Shafie menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan kepada setiap tertuduh dengan syarat tambahan melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Zahidah Md Zaman mewakili dua beranak itu, bagaimanapun memohon jaminan RM10,000 dengan alasan Jazman Shahar kini bekerja sebagai akauntan bebas dengan pendapatan bulanan kira-kira RM4,000 dan menanggung isteri yang mempunyai masalah kesihatan mental manakala Irfan Hadi tidak bekerja.
Mahkamah membenarkan jaminan RM40,000 kepada Jazman Shahar dan RM20,000 untuk Irfan Hadi berserta syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan, selain menetapkan sebutan semula kes pada 15 April.
-- BERNAMA
#kenaf trading #iklan tidak berdaftar #skim pelaburan kenaf #mahkamah #pendakwaan #bekas CEO
;