Bekas CEO JCorp Tan Sri Muhammad Ali Hashim meninggal dunia akibat kanser

Astro Awani
Oktober 31, 2017 17:22 MYT
Allahyarham merupakan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia dan pernah menjadi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp selama lebih 28 tahun. - Foto Fail Bernama
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Tan Sri Muhammad Ali Hashim meninggal dunia di ibu negara petang tadi.
Muhammad Ali, 70, meninggal dunia di Hospital KPJ Damansara kira-kira 3.30 petang.
Menurut anggota keluarga terdekat, Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan sejak dua bulan lepas kerana menghidap barah.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh anak Allahyarham, Alia Muhammad Ali dalam satu kenyataan hari ini.
“Dengan dukacitanya ayahanda saya Tan Sri Muhammad Ali bin Hashim telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Mohon semua agar dapat sedekahkan al-Fatihah untuk arwah ayah saya,” menurut Alia.
Katanya lagi, jenazah bapanya akan disembahyangkan di Masjid At Taqwa Taman Tun Dr Ismail di sini dan akan dikebumikan di Taman Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Isyak.
Allahyarham merupakan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia dan pernah menjadi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp selama lebih 28 tahun.
Di bawah pimpinan beliau, Jcorp berjaya dibina hingga menjadi antara organisasi korporat utama dan disegani di Malaysia.
#CEO #JCorp #jenazah #meninggal dunia #Muhammad Ali
;