Bekas CEO, isteri dan anak didakwa ubah wang haram lebih RM150 juta

Bernama
Mac 4, 2025 18:34 MYT
Jazman dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Kenaf Trading Global Sdn Bhd dan isteri serta anak lelakinya dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 12 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram lebih RM150 juta.
Jazman Shahar Abdollah, 53, Mariam Zakaria, 49, dan Irfan Hadi, 28, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan dua hakim berbeza.
Di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril, Jazman Shahar didakwa atas dua pertuduhan terbabit dalam 17 transaksi membabitkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM119,549,889.98 dan melakukan tiga transaksi membabitkan RM18,002,804 di Plaza Sentral, Jalan Stesen Sentral 5 di sini antara 25 Oktober 2021 dan 10 Januari 2023.
Lelaki itu juga didakwa terbabit dalam 12 transaksi membabitkan wang hasil aktiviti haram iaitu RM5,833,619.07 kepada firma milik Mariam iaitu Sariah & Associates di Seberang Jaya, Pulau Pinang antara 1 Mac 2022 dan 26 Januari 2023 di lokasi sama.
Irfan Hadi pula didakwa memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta melalui cek daripada akaun semasa milik syarikat Kenaf Trading Global ke dalam akaun semasa milik syarikat AR Rizq Capital Berhad.
Bagi pertuduhan kedua, Irfan Hadi didakwa memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM300,000 melalui surat arahan pemindahan dana bertarikh 13 Julai 2022 daripada akaun semasa milik Kenaf Venture Global Sdn Bhd bagi tujuan pembukaan akaun.
Dia juga didakwa melupuskan hasil aktiviti haram daripada akaun Kenaf Venture bagi tujuan pembelian sebuah unit pejabat di kompleks komersial di Plaza Sentral yang didirikan atas hak milik induk geran bernilai RM3,304,640.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan Irfan Hadi di Plaza Sentral antara 7 Mac dan 22 Julai 2022.
Sementara itu, Mariam didakwa atas satu pertuduhan melupuskan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1,634,882 melalui enam cek daripada akaun Sariah & Associates bagi pembelian sebuah banglo tiga tingkat di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada 25 Mac 2022 dan 9 Jan 2023 di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Wanita itu juga didakwa melupuskan wang haram berjumlah RM78,490.45 menerusi cek daripada akaun semasa firma tersebut, bagi pembelian sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) atas nama anaknya di lokasi sama pada 12 Disember 2022.
Sementara itu di hadapan Hakim Azrul Darus, Jazman Shahar didakwa melupuskan hasil aktiviti haram daripada akaun Kenaf Venture Global bagi tujuan pembelian sebuah unit pejabat di kompleks komersial di Plaza Sentral yang didirikan di atas hak milik induk geran bernilai RM3,304,640, pada 24 Jun 2022.
Mariam pula didakwa dengan tiga pertuduhan menerima wang hasil skim pelaburan haram Kenaf Development Fund berjumlah RM4,238,663.81 dimasukkan ke akaun simpanannya antara 1 Oktober 2021 dan 31 Disember 2023 di sebuah bangunan di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Pendakwaan bagi semua kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua mahkamah membenarkan jaminan RM60,000 terhadap Jazman Shahar, Mariam sebanyak RM30,000 dan RM20,000 kepada Irfan Hadi dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat mereka melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Kedua-dua mahkamah juga menetapkan 15 April ini untuk sebutan semula kesemua kes terbabit.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi manakala tiga beranak itu diwakili peguam Zahidah Md Zaman.
#bekas CEO #Kenaf Trading Global #pengubahan wang haram #kes mahkamah
;