Bekas CEO Institut Darul Ridzuan didakwa pecah amanah
Aida Aziz
Oktober 23, 2019 18:57 MYT
Oktober 23, 2019 18:57 MYT
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), sebuah anak syarikat di bawah Kerajaan Negeri Perak didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini di atas 58 pertuduhan kesalahan pecah amanah melibatkan RM150,000, lima tahun lalu.
Dr Mazalan Kamis, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut dan minta dibicarakan.
Dia didakwa menyalahgunakan harta agensi itu yang diamanahkan dengan meluluskan bayaran sebanyak RM153,871.82 ke dalam akaun bank sebuah hotel di Ipoh untuk pembayaran sewa apartmen dan bil utiliti.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat IDR di Greentown Suria, Jalan Datuk Seri Ahmad Said pada 10 Januari 2014 hingga 30 Oktober 2018.
Dia didakwa mengikut sekysen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari 20 tahun, dan sebatan serta denda.
Hakim Azman Abu Hassan bagaimanapun membenarkan Mazalan diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Hakim juga menetapkan 26 November depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes.
Pertuduhan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Fadhil Ab Wahab, Mohamad Nazreen Zabarudin serta Nur Farhana Hashim.
Tertuduh pula diwakili peguam, Abdul Qadir Saqti Aros.