Bekas CEO Goldman Sachs pernah bertemu Jho Low - WSJ
Ibrahim Sani
November 9, 2018 05:35 MYT
November 9, 2018 05:35 MYT
Akhbar Wall Street Journal (WSJ) melaporkan pada Jumaat, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Goldman Sachs, Lloyd Blankfein, pernah bertemu dengan Jho Low.
Laporan yang dikeluarkan oleh Tom Wright dan Liz Hoffman untuk akhbar WSJ itu menyatakan bahawa Blankfein bertemu dengan Jho Low sebanyak dua kali, pada tahun 2009 dan 2013.
Perjumpaan Blankfein dengan Jho Low adalah dikatakan kerana Blankfein ingin bertemu dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Perjumpaan pertama dilaporkan kerana ingin membincangkan isu 1MDB dan bagaimana Goldman Sachs boleh membantu dalam perkembangan dana ini.
Perjumpaan kedua dikatakan dilakukan walaupun terdapat amaran oleh Jabatan Pengawasan Goldman Sachs agar berwaspada terhadap Jho Low dan supaya tidak lagi berhubungan dengan beliau.
Menurut WSJ, sebuah kenyataan telah dikeluarkan oleh jurucakap Blankfein yang menyatakan bahawa "sebagai seorang CEO, Blankfein bertemu dengan pelbagai pihak sepanjang tempoh 12 tahun beliau memegang jawatan itu, dan adalah mustahil untuk Blankfein mengetahui dengan lebih awal jika Najib akan membawa Jho Low untuk turut bersama dalam perjumpaan-perjumpaan ini."
Jurucakap Blankfein juga didakwa menyatakan bahawa "Blankfein tidak ingat sama ada beliau benar-benar ada berjumpa dengan Jho Low".
Goldman Sachs membantu menguruskan bon dan sukuk 1MDB sebanyak RM26 bilion (US$6.5 bilion) melalui tiga pengeluaran bon pada 2012 dan 2013. Melalui pengurusan ini, Goldman mendapat keuntungan lebih RM2.4 bilion (US$600 juta).
Pihak Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) mendakwa lebih separuh dari dana yang diraih oleh 1MDB dicuri oleh Jho Low dan rakan-rakan beliau. Dakwaan ini terdapat di dalam pertuduhan mereka terhadap Jho Low, serta dua bekas pegawai Goldman Sachs iaitu Tim Leissner dan Roger Ng.
Tim Leissner telah mengaku bersalah mencuri wang 1MDB, sementara Roger Ng masih ditahan oleh pihak PDRM dan sedang menunggu keputusan untuk diekstradisi ke AS. Roger Ng dilaporkan sedang melawan pihak berkuasa untuk tidak diekstradisi ke AS.
Najib pula mempertahankan institusi perundangan yang wujud di mana-mana negara. Beliau mendakwa semua orang tertakluk kepada undang-undang dan menyatakan bahawa DOJ berhak untuk mengenakan pertuduhan kepada sesiapapun sekiranya mendapat bukti yang kukuh.
Menurut laporan WSJ, Goldman Sachs pernah berkata yang mereka tidak mampu untuk mengetahui bagaimana wang yang diraih melalui pengeluaran bon ini digunakan. Kenyataan ini memberi gambaran yang Goldman Sachs tidak tahu Jho Low didakwa mencuri wang 1MDB.
Siapa Vella?
Pertuduhan DOJ juga menamakan seorang 'warganegara Itali' di Goldman Sachs sebagai turut terlibat dalam skandal 1MDB. WSJ melaporkan bahawa warganegara Itali yang dimaksudkan ini adalah Andrea Vella.
Vella adalah rakan kongsi Goldman Sachs di pejabat Hong Kong bank itu. Vella didakwa membantu dalam pengaturcaraan bon dan sukuk 1MDB, sehinggakan mendapat promosi menjadi ketua perbankan pelaburan Goldman Sachs di Asia.
Vella kini diarah bercuti susulan kertas dakwaan DOJ itu diberi kepada sebuah mahkamah di New York. WSJ melaporkan beliau tidak lagi memegang apa-apa tanggungjawab pengurusan di bank itu, dua minggu sebelum kertas dakwaan DOJ diberi kepada mahkamah.
Setakat ini, Vella dipercayai belum didakwa secara rasmi oleh pihak DOJ, mahupun mana-mana pihak berkuasa yang lain.
#1MDB
#Amerika Syarikat
#Andrea Vella
#David Solomon
#Jho Low
#Lim Guan Eng
#Lloyd blankfein
#Najib Razak
#PDRM
#Roger Ng
#Tim Leissner
#Wall Street Journal
#WSJ