Bekas cef istana Terengganu juara World Chefs Championship

Sinar Harian
Mei 23, 2023 18:40 MYT
Nazrul Hazel dinobatkan sebagai juara sempena World Chefs Championship (WCC-Pasta Challenge) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru. - Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Bekas tukang masak di Istana Syarqiyyah, di sini dinobatkan sebagai juara dalam kejohanan World Chefs Championship (WCC-Pasta Challenge) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.
Nazrul Hazel Mohd Nor, 42, bersama 18 lagi peserta dari negara lain berentap untuk merebut juara dalam kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Mei lalu.
Menurutnya, kemenangan itu adalah detik paling manis sepanjang 18 tahun beliau berkecimpung dalam bidang tersebut.
"Kemenangan yang diperoleh itu juga akan meningkatkan lagi motivasi saya untuk terus melakukan yang terbaik dalam karier ini pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.
Nazrul Hazel memberitahu, dua warna pasta berbeza iaitu kuning dan hitam digunakan bagi menampakkan kelainan pada pasta yang dihasilkan.
Selain itu, katanya, beliau turut menambah makanan laut dan sayur-sayuran untuk mempelbagaikan warna supaya hidangan itu lebih berkhasiat dan menyelerakan.
"Pengalamannya bekerja di beberapa buah hotel terkemuka sebelum ini banyak membantu saya mencari idea baharu untuk melakukan pelbagai inovasi dan kreativiti dalam masakan.
"Misalnya, resepi pasta yang saya hasilkan pada kejohanan itu adalah melalui ilham ketika berada di Itali sempena lawatan kerja kira-kira 10 tahun lalu.
"Saya bersyukur, kerana dapat menampillkan kelainan dari aspek hidangan, penyediaan dan persembahan pasta berjaya menambat hati juri," katanya yang kini bertugas sebagai Pembantu Tadbir dan Pembantu Penyediaan Makanan di Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu. -- Sinar Harian
#bekas tukang masak istana #World Chef Championship #Nazrul Hazel Mohd Nor #juara dunia
;