Bekas calon PRK didakwa bunuh suami, beremosi di mahkamah

Shuhada Abdul Kadir
Januari 28, 2022 19:02 MYT
Terdahulu, perkarangan mahkamah kecoh dengan jeritan tertuduh ke arah wartawan ketika dia diiringi anggota polis pada 9.30 pagi. - Foto Bernama
SEREMBAN: Seorang suri rumah yang juga bekas calon Bebas Pilhan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh suaminya dalam kejadian di sebuah rumah banglo di Rasah Kemayan, Seremban 2, Ahad lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Lau Seck Yan, 55, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.
Mengikut pertuduhan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu, ibu empat anak berkenaan didakwa menyebabkan kematian suaminya, Poh Seng Hiap, 55 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Rasah Kemayan Golf & Country Township, Seremban antara jam 3.30 petang hingga 4.30 petang pada 23 Januari lalu.
Mahkamah | Bekas calon PRK didakwa bunuh suami
BACA: Suri rumah disyaki bunuh suami direman seminggu
Pada prosiding berkenaan, tertuduh berulang kali memaklumkan tidak sepatutnya dituduh atas kesalahan membunuh kerana tidak melakukan tindakan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam Ng Kian Nam.
Norzaliza pada penghakimannya turut menetapkan 25 Februari ini bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Terdahulu, tertuduh ketika tiba di perkarangan mahkamah berada dalam keadaan beremosi dengan menjerit ke khalayak ramai mendakwa dirinya hanyalah mangsa keadaan.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, mangsa yang juga bekas akauntan sebuah syarikat swasta ditemui maut selepas dipercayai ditikam oleh isterinya di bahagian dada dan pinggang menggunakan senjata tajam.
Kejadian itu turut disaksikan oleh anak ketiga dan keempat mereka yang berada di lokasi kejadian.
#Suri Rumah #mahkamah #bunuh suami #jenayah
;