Bekas banduan tidak serik, ditahan semula kerana menyamun
Bernama
Februari 10, 2023 16:34 MYT
Februari 10, 2023 16:34 MYT
PETALING JAYA: Seorang bekas banduan tidak serik apabila sekali lagi dicekup kerana menyamun empat kedai serbaneka dengan menggunakan pistol angin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek berumur 30 tahun itu berpura-pura memasuki premis serbaneka sebelum menakutkan pekerja menggunakan pistol angin untuk menyamun.
Katanya, suspek berjaya ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 10 pagi, 3 Feb lepas dan turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Y16ZR selain beberapa keping kad pengenalan, lesen memandu dan kad ATM milik individu lain.
"Turut dirampas sepucuk pistol angin jenis revolver yang dipercayai dibeli suspek secara dalam talian," katanya dalam sidang media di IPD Petaling Jaya, di sini, hari ini.
Menurut Mohamad Fakhrudin, semakan mendapati suspek dibebaskan dari penjara Januari tahun lepas atas kesalahan samun dan dipercayai kembali aktif sebulan lepas dengan menyasarkan kedai serbaneka dan hasil samun digunakan suspek untuk membeli alat ganti motosikal.
Mohamad Fakhrudin berkata, dengan penahanan suspek yang memiliki rekod jenayah dan dadah itu, polis berjaya menyelesaikan empat kes samun premis serbaneka di daerah berkenaan.
Katanya, polis akan memohon lanjutan reman ke atas suspek yang tamat hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun.
Selain itu, Mohamad Fakhrudin berkata, polis berjaya menyelesaikan empat kes curi kenderaan di daerah Petaling Jaya dengan penahanan tiga lelaki warga tempatan awal bulan ini.
Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan ialah menyasarkan kenderaan model lama untuk diserahkan kepada orang tengah sebelum dileraikan dan dijual sebagai alat ganti.
Menurut Mohamad Fakhrudin, penahanan pertama dilakukan pada 3 Feb lepas melibatkan dua lelaki masing-masing berumur 27 dan 28 tahun di Hentian Duta, di sini sebelum menahan seorang lagi lelaki berumur 36 tahun dipercayai dalang sindiket di Puchong, sehari kemudian.
"Penahanan kesemua suspek membawa kepada rampasan sebuah kereta jenis Proton Wira dan van yang dilaporkan hilang," katanya sambil menambah sindiket itu bergiat aktif sejak Disember tahun lepas.
Reman kesemua suspek tamat semalam dan mereka akan diserahkan kepada IPD Shah Alam untuk siasatan lanjut dan polis giat mengesan seorang lagi suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. - BERNAMA